JAKARTA — Penganalisis politik, Datuk Dr Jeniri Amir menyifatkan, bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud sebagai tokoh politik yang hebat dan luar biasa.
Jeniri yang juga Pengarah Sarawak Media Group dan Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak serta New Sarawak Tribune berkata, Abdul Taib banyak memberi tumpuan kepada pelbagai dasar jangka panjang yang memberi kesan menganjakkan kedudukan rakyat di Sarawak.
“Tun Taib saya anggap satu satunya tokoh yang boleh dianggap sebagai pada tahap terbilang disebabkan oleh pendekatan dan strategi politiknya yang transformatif.
“Seorang tokoh Yang begitu pragmatik, dan dinamik.
“Segala sifat ini sebenarnya memungkinkan beliau untuk melaksanakan pelbagai dasar yang mengutamakan kepentingan Sarawak dan masa depan Sarawak berpakasikan pembangunan pembangunan dan juga realiti baru,” katanya kepada wartawan SuaraTV di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta semalam.
Tambahnya, Abdul Taib juga boleh dianggap sebagai bapa pembangunan dan arkitek pemodenan Sarawak yang meninggalkan legasi panjang dalam sejarah politik Sarawak.
“Ketika beliau sendiri berdepan dengan pelbagai cabaran Sarawak yang begitu besar penduduk dan masih lagi mundur serta rumah panjang bertebaran sebanyak 5000 di seluruh Sarawak, tapi dengan tumpuannya kepada politik, pembangunan belia telah berupaya untuk merapatkan jurang antara luar Bandar dengan bandar jurang antara Sarawak dan Semenanjung, jurang 27 suku kaum di Sarawak.
Selain itu katanya, dalam tempoh 33 tahun sebagai ketua menteri, Abdul Taib telah banyak memberi kestabilan politik Sarawak, merancakkan pertumbuhan ekonomi Sarawak dan menyatupadukan penduduk Sarawak.
“Politik pembangunan yang dilaksanakan juga tidak dapat dinafikan apabila Abdul Taib meninggalkan kesan mendalam sekaligus memungkinkan Sarawak menjadi tonggak politik yang lebih stabil.
“Apabila politik Sarawak stabil sekaligus memberi sumbangan kepada politik Nasional dan yang menjadi legasi kepada kita semua ialah beliau juga memperkenalkan dasar inklusif merangkumi semua kaum di Sarawak tanpa memilih bangsa atau kaum dan agama dan dengan sifat Yang begitu inklusif itu beliau telah mewujudkan pelbagai dasar termasuk memperkenalkan dasar sosial Yang diterima baik,” katanya.
Terdahulu pada 21 Februari lepas, Datuk Dr Jeniri berada di Jakarta bagi menghadiri Hari Pers Nasional 2024 bersama deligasi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI).