Demokrasi Malaysia sudah dikafankan, kata Zahid Hamidi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Demokrasi di Malaysia sudah dikafankan begitu gambaran oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila ahli-ahli Parlimen tidak lagi boleh bersidang bagi menyampaikan keluhan dan isu yang dibangkitkan rakyat.

Sedangkan, katanya, akibat wabak Covid-19, rakyat dihimpit kemelut ekonomi, dan mereka bukan hanya mahu melihat wabak itu ditangani, tetapi juga memerlukan pendapatan bagi menyediakan makanan untuk keluarga serta meneruskan kelangsungnan hidup mereka.

“Saya adalah sebahagian daripada kerajaan, tetapi oleh kerana Parlimen tidak bersidang, maka jangan disekat suara rakyat yang saya menjadi lidahnya.

“Suara saya adalah nadi daripada rakyat, dan ramai lagi kawan-kawan lain yang menyebutkan perkara ini kerana kalau bukan kita (wakil rakyat) yang menyuarakan suara rakyat, siapa lagi?

“Wakil rakyat yang sepatutnya duduk di Parlimen menyuarakan suara dan nadi rakyat, apabila demokrasi telah dikafankan, atau sekurang-kurangnya telah disemadikan, maka apakah suara rakyat harus ditutup?” soalnya.

Beliau berkata demikian dalam bual bicara yang disiarkan oleh Malaysia Post malam tadi.

Bukan pandangan Azalina seorang

Bahkan, kata Ahmad Zahid, surat yang dihantar oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman kepada Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun mengenai cabang legislatif yang telah lumpuh akibat penggantungan Parlimen, bukanlah suara Azalina seorang.

“Suara timbalan speaker Dewan Rakyat adalah suara kita, bukan suara dia saja. Apabila Azalina menulis surat kepada peguam negara, bukan sahaja daripada aspek perundangan dan politik, tetapi itu suara rakyat yang disalurkan olehnya, melalui pemikirannya.

“Tentunya, dalam perkara ini, apabila dia meminta supaya Parlimen bersidang.

“Kenapa Parlimen tak boleh bersidang? Pasar malam dibuka, pasar rayat dibuka, adakah ahli Parlimen lebih bahaya daripada pengunjung pasar malam?” soal Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika disoal mengenai pengurusan Covid-19 di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Darurat mungkin dilanjutkan

Mengulas lebih lanjut mengenai pengurusan Covid-19 di bawah PN, Ahmad Zahid dengan nada sinis, beberapa kali memanjatkan ucapan tahniah dan alhamdulillah atas “kejayaan” kerajaan.

Katanya, dengan prosedur operasi piawai (SOP) yang cukup ketat, pengumuman yang kerap dilakukan bagi mengemas kini SOP, kes tetap juga mencatatkan peningkatan.

Sedangkan, katanya, ada negara di rantau Asean yang lebih terkebelakang ekonominya, tetapi lebih terkehadapan dalam pengurusan Covid-19 seperti dalam perolehan vaksin Covid-19.

Malah, kata Ahmad Zahid, berdasarkan keadaan sekarang, dia menjangkakan tempoh darurat mungkin dipanjangkan lagi.

“Malah ada jangkaan insya-Allah bulan Mac ini (kes) akan meningkat kepada 20,000 kes sehari. Alhamdulillah, ia satu pencapaian yang cukup baik. Ini adalah satu kejayaan kepada negara kita.

“Tentunya, darurat harus diperpanjangkan, kerana darurat ini adalah darurat untuk menangani pandemik Covid-19. Maka adalah sebab yang kukuh darurat ini untuk diperpanjangkan.

“Saya ucapkan tahniah kepada mereka yang berhasrat melakukan perkara yang sedemikian,” katanya lagi. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat