KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) telah meluluskan permohonan MIC untuk menyertai gabungan itu.
Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbincangan dengan MIC telah diadakan beberapa kali sebelum permohonan parti berkenaan diluluskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN.
Katanya, setakat ini perkara berkenaan telah dimaklumkan dan PN berada di fasa akhir bagi mengumumkan secara rasmi kemasukan parti itu ke dalam gabungan tersebut, menurut Utusan.
“PN turut menerima beberapa permohonan daripada parti lain seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim (Iman) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) yang kini berada dalam proses pengurusan parti.
“Kami menyambut baik hasrat parti-parti lain yang ingin bersama PN,” katanya kepada akhbar itu.
Sebelum ini, keputusan berkenaan didakwa dicapai dalam satu mesyuarat pimpinan tertinggi PN yang berlangsung pada 9 Disember lalu.
Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan memberi penjelasan mengenai sepucuk surat yang dikemukakan oleh kepimpinan MIC serta perjumpaan dengan pimpinan parti berkenaan.
Beliau turut menegaskan kepentingan MIC dan parti politik lain dalam memperkukuhkan jentera gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Alasan utama penerimaan MIC adalah bagi membolehkan PN menarik sokongan pengundi bukan Melayu dengan memfokuskan kepada masyarakat India yang menjadi penentu di banyak kerusi bandar.
November lalu, Muhyiddin mendakwa MIC telah menyerahkan permohonan untuk menyertai PN dan Majlis Tertinggi PN akan meneliti perkara itu dalam mesyuarat pada bulan Disember sebelum membuat keputusan rasmi.
Bagaimanapun, MIC menafikan membuat sebarang permohonan rasmi untuk menyertai PN.
MIC berkata, surat yang dihantar kepada PN bukan permohonan rasmi, sebaliknya bertujuan mendapatkan maklumat awal sebelum parti itu membuat sebarang keputusan.
Surat berkenaan dihantar empat hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti bagi membolehkan MIC memahami dengan lebih mendalam pendirian PN.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi MIC, Datuk RT Rajasekaran ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.



