RM2.6 Bilion Perkukuh Pendidikan Islam, RM200 Juta Baik Pulih Sekolah Agama

BENTONG, 22 Jan — Kerajaan MADANI memperuntukkan lebih RM2.6 bilion tahun ini bagi memperkukuh pendidikan Islam di negara ini, termasuk menyokong maahad tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, kerajaan turut meluluskan RM200 juta khusus untuk penyelenggaraan sekolah agama di seluruh negara, melibatkan kerja pembaikan bangunan dan prasarana asas bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pelajar.

Menurut Anwar, peruntukan berkenaan mencerminkan iltizam kerajaan untuk memastikan institusi pendidikan Islam kekal berdaya tahan, bermaruah dan berperanan sebagai benteng pembinaan sahsiah serta kefahaman ummah.

“Institusi pondok dan sekolah agama perlu terus diperkukuh sebagai pusat pembinaan akhlak, nilai dan jati diri umat, selari dengan cabaran semasa,” katanya ketika menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Warga Maahad di Seluruh Bentong, hari ini.

Beliau berkata, sokongan kerajaan bukan sekadar tertumpu kepada aspek fizikal dan prasarana, malah merangkumi pengukuhan ekosistem pendidikan Islam agar relevan dengan perubahan zaman.

Dalam masa sama, Anwar menegaskan kepentingan penguasaan ilmu baharu termasuk teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan institusi pondok dan sekolah agama, tanpa mengorbankan akar turath, disiplin ilmu serta nilai dan akhlak Islam.

Katanya, sejarah membuktikan institusi pondok pernah menjadi benteng utama mempertahankan iman, ilmu dan jati diri umat ketika berlakunya penjajahan yang bukan sahaja bersifat fizikal, malah melibatkan penjajahan jiwa dan pemikiran.

“Pendekatan hari ini mesti seimbang — menguasai teknologi dan kemajuan baharu, tetapi tetap berpaksikan nilai, akhlak dan tradisi keilmuan Islam,” katanya.

Perdana Menteri turut menggesa pelajar serta pendidik Islam agar mengamalkan pendekatan dakwah yang berteraskan hikmah dan kebijaksanaan, khususnya dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat