Zahid yakin Umno bangkit semula PRU-16, tapi tak mudah kerana sering diserang lawan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Umno-BN akan bangkit semula menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak, namun jalannya tidak mudah.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan meskipun bukan mudah namun ia perlulah diiringi dengan usaha yang jitu dan doa daripada semua pihak.

“Dalam usaha kita bangkit semula, tiada apa yang dapat diperoleh dengan mudah. Segala-galanya memerlukan usaha dan juga doa. Bukan mudah untuk bangkit semula terutamanya selepas kita kecundang pada tahun 2018.

“Kita lihat banyak parti politik seluruh dunia kebanyakannya menerima nasib yang sama. Insya-Allah apa yang kita pelajari akan dapat digunakan untuk bangkit semula dalam pentas politik,” katanya ketika berucap sempena program Jelajah Akar Umbi Presiden Umno Bersama Umno Bahagian Sepang, malam tadi lapor Umno Online.

Menurutnya, untuk bangkit kembali tidak mudah tetapi tidak juga mustahil meskipun Umno-BN sering diserang oleh pihak lawan.

“Bukan mudah tetapi tidak mustahil. Di dalam suasana begini kita diterjah, ditombak dengan slogan ‘UMDap’. Cuba kita lihat apabila Parti Perikatan dibentuk oleh Tunku Abdul Rahman, apa tuduhan yang dilemparkan?

“Kata mereka, ini kerajaan kafir kerana kita berkawan dengan MCA dan MIC. Umno dituduh parti kafir. Siapa tuduh… orang yang sama.

“PAS tidak pernah ikhlas dengan Umno. Mereka pernah bersama dalam kerajaan tapi tikam daripada belakang. Pada tahun ini BN akan berusia 50 tahun. Adakah kita tidak berusaha mendekati PAS?” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa perkara yang sama berulang meskipun Umno telah cuba untuk menjernihkan keadaan bersama PAS.

“Apabila kita kecundang pada 2018, kita dekati PAS. Namun perkara sama berulang. Kita lihat bahawa penubuhan PAS ini adalah serpihan daripada Umno. Begitu juga parti yang bersekongkol dengan mereka sekarang ini.

“Mereka juga serpihan daripada Umno. Buktinya parti-parti itu berusaha untuk membunuh Umno,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut beranggapan bahawa kombinasi BN dan Pakatan Harapan (PH) adalah yang terbaik untuk mentadbir negara pada ketika ini.

“Kesepakatan kita dalam Kerajaan Madani, demi kestabilan kerajaan untuk kepentingan rakyat dan negara.”

Turut hadir ke program Jelajah Akar Umbi Presiden Umno ini ialah Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; dan Naib Ketua Pergerakan Puteri Umno, Siti Sokhleha Nordin.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin dan Ketua Umno Bahagian Sepang, Noorazli Said serta kepimpinan bahagian tempatan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat