KOHISTAN, PAKISTAN: Misteri kehilangan seorang lelaki Pakistan yang lenyap hampir tiga dekad lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui dalam keadaan hampir sempurna di sebuah glasier di Supat Valley, wilayah pergunungan Kohistan, utara Pakistan.
Mangsa, Naseeruddin, ketika itu berusia 31 tahun, dilaporkan hilang pada Jun 1997 semasa dalam perjalanan di kawasan berkenaan. Usaha mencari selama bertahun-tahun oleh ahli keluarga dan penduduk tempatan gagal menemukan sebarang petunjuk, memaksa mereka menerima hakikat kehilangan tersebut tanpa kepastian.
“Ahli keluarga kami tidak pernah berhenti mencari,” kata anak saudaranya, Malik Ubaid. “Kami beberapa kali ke kawasan glasier untuk melihat sama ada mayatnya boleh ditemui, tetapi akhirnya terpaksa berputus asa kerana keadaan yang terlalu berbahaya.”
Namun, pada 31 Julai lalu, seorang penggembala tempatan, Omar Khan, menemui jasad seorang lelaki terdedah daripada ais glasier yang mencair. Lebih mengejutkan, kad pengenalan masih berada bersama mayat tersebut, mengesahkan identiti Naseeruddin.
“Apa yang saya lihat sukar dipercayai. Mayatnya utuh, pakaiannya juga tidak koyak,” kata Khan kepada BBC Urdu.
Pakar menjelaskan bahawa tubuh Naseeruddin telah melalui proses pembekuan pantas di dalam ais glasier, yang melindunginya daripada pendedahan kepada oksigen dan kelembapan, sekali gus memperlahankan proses pereputan. Keadaan ini menyebabkan mayat tersebut menjadi mummia semula jadi selama 28 tahun.
Pakistan mempunyai kira-kira 7,000 glasier — jumlah tertinggi di dunia di luar kawasan kutub. Namun, perubahan iklim akibat aktiviti manusia telah menyebabkan penurunan salji dan peningkatan suhu, mempercepatkan pencairan glasier di kawasan pergunungan utara negara itu.
Fenomena pencairan inilah yang akhirnya mendedahkan jasad Naseeruddin, sekali gus menamatkan penantian panjang keluarganya.
“Sekurang-kurangnya kini kami mendapat sedikit kelegaan selepas mayatnya ditemui,” kata Ubaid.
Glasier sering dianggap sebagai kapsul masa semula jadi, bukan sahaja menyimpan rekod iklim purba melalui gelembung udara yang terperangkap dalam ais, malah memelihara artifak dan jasad manusia dari masa silam. Penemuan paling terkenal ialah Ötzi, atau ‘The Iceman’, yang ditemui di Alps Itali pada 1991 dan memberikan gambaran luar biasa tentang kehidupan manusia Neolitik.
Namun, pakar menjelaskan bahawa pembekuan glasier tidak dapat menghalang pereputan sepenuhnya, berbeza dengan pembekuan kriogenik moden. Justeru, walaupun mayat yang ditemui kelihatan utuh, tanda-tanda dehidrasi dan pereputan tetap berlaku.
Nasib Naseeruddin bukanlah kes terpencil. Beberapa pendaki dan peneroka yang hilang di kawasan altitud tinggi turut ditemui semula apabila ais mencair, termasuk pendaki terkenal Sandy Irvine yang hilang di Gunung Everest hampir satu abad lalu.
Dengan kadar pencairan glasier yang semakin pantas di seluruh dunia, para saintis menjangkakan lebih banyak rahsia lama — sama ada tragedi atau penemuan bersejarah — akan terus muncul dari ais di puncak dunia.



