Bayaran bantuan RM700 ditangguh jika penjawat awam tak lengkap dos vaksin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pembayaran Bantuan Khas Kewangan 2022 akan ditangguhkan bagi penjawat awam yang tidak mendapatkan dos lengkap vaksinasi COVID-19.

Arahan penangguhan bayaran bantuan sebanyak RM700 itu terkandung dalam pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang bertarikh semalam seperti dilapor BH.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata hanya pegawai yang tidak mendapatkan suntikan vaksin berkenaan atas sebab kesihatan dan memperoleh pengesahan pengamal perubatan berdaftar, dikecualikan daripada arahan terbabit.

Beliau menjelaskan, penjawat awam hanya layak dibayar bantuan kewangan itu jika melengkapkan dos vaksinasi COVID-19 selewat-lewatnya pada 31 Mac tahun depan.

“Pembayaran ini juga tidak layak diberikan kepada pegawai dalam kumpulan pengurusan tertinggi dan setaraf, termasuk pegawai yang memangku, dipinjam, ditukar sementara serta penempatan khas ke gred jawatan utama atau gred khas.

“Seterusnya, pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib dalam tempoh 1 Januari tahun ini hingga 25 Januari 2022, serta pegawai ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam bagi tempoh sama.

“Selain itu, pegawai yang meletak jawatan dalam tempoh 1 hingga 25 Januari tahun depan, dan pegawai berpencen yang melepaskan hak pencen kerana menyertai badan berkanun yang diasingkan saraan,” katanya dalam pekeliling berkenaan.

Mohd Khairul Adib berkata, pegawai yang ditahan kerja, digantung atau mempunyai rekod surat pertuduhan dikeluarkan pihak berkuasa tatatertib, juga akan ditangguhkan pemberian Bantuan Khas Kewangan 2022.

Katanya, pegawai terbabit hanya layak dibayar jika pihak berkuasa tatatertib mendapati individu berkenaan tidak bersalah.

Beliau turut memaklumkan, Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang meninggal dunia pada 25 Januari tahun depan, layak diberi Bantuan Khas Kewangan 2022 sebanyak RM700.

“Bantuan khas ini akan dibayar pada 25 Januari tahun depan dan menjadi tanggungan jabatan di mana pegawai berkhidmat pada tarikh pembayaran.

“Tertakluk kepada penerimaan pakai oleh pihak berkuasa masing-masing, arahan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,609FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat