Keputusan Kes Rasuah RM2 Juta Tengku Adnan Pagi Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan mengetahui nasibnya hari ini, sama ada disabitkan atau dilepaskan daripada pertuduhan rasuah RM2 juta.

Semua akan tertumpu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana hakim Mohamed Zaini Mazlan dijangka memberikan penghakimannya bagi kes itu pada 9 pagi.

Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini, pada 14 Jun 2016.

Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes bermula pada 2 Julai tahun lepas dengan pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan.

Pada 14 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes tertuduh.

Tengku Adnan memberi keterangan bersumpah dari tempat saksi dan prosiding pembelaannya berlangsung selama dua hari iaitu pada 17 Jan dan 5 Mac lepas.

Dalam keterangannya, Tengku Adnan mengakui menerima cek RM2 juta daripada Chai pada 14 Jun 2016 untuk perbelanjaan kempen pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar di Selangor dan Kuala Kangsar, Perak pada 18 Jun, tahun yang sama.

PRK itu diadakan selepas dua Ahli Parlimen UMNO, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad, meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, pada 5 Mei 2016.

Bekas menteri itu juga memberitahu mahkamah bahawa RM2 juta yang diberi Chai hanyalah seperti “duit poket”.

Pada 30 Jun lepas, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil empat saksi memberi keterangan dalam prosiding yang berlangsung selama empat hari bermula 4 Mac dengan Tengku Adnan dipanggil sebagai saksi pembelaan pertama.

Pada 7 Dis lepas, Mahkamah Tinggi yang lain melepas tanpa membebaskan Tengku Adnan atas pertuduhan menerima rasuah sejuta ringgit daripada seorang ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon, yang mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan bersubahat dalam perlakuan salah Tengku Adnan pada 2013 dan ahli perniagaan itu didenda RM1.5 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas dimaklumkan pihak pendakwaan enggan meneruskan kes terhadap Tengku Adnan setelah terdapat perkembangan baharu berhubung kes itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat