KUALA LUMPUR,– Aplikasi mudah alih Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), iaitu MCMC NEXUS, menerima Digital Inclusion Award (Special Mention) pada Malaysia Digital Transformation Awards 2025.
Pengiktirafan itu disampaikan sempena acara GovInsider Live MY.AI Day, sekali gus menonjolkan peranan aplikasi tersebut dalam memperkasa rakyat Malaysia dengan akses maklumat yang lebih telus mengenai kualiti perkhidmatan Internet di seluruh negara.
MCMC NEXUS merupakan aplikasi mesra pengguna yang membolehkan orang ramai menilai kualiti perkhidmatan Internet mereka melalui data masa nyata yang dikumpulkan secara crowdsourced.
Maklumat ini membantu pengguna memahami pengalaman rangkaian mereka dengan lebih baik, sementara data yang dihimpun membolehkan MCMC serta penyedia perkhidmatan mengenal pasti kawasan yang memerlukan penambahbaikan menyokong usaha meningkatkan kesalinghubungan digital negara secara lebih berkesan dan tersasar.
Melalui aplikasi ini, pengguna boleh menguji pengalaman rangkaian bagi 4G, 5G dan Wi-Fi, termasuk menilai kelajuan muat turun dan muat naik, ping serta jitter. Keputusan ujian yang berada di bawah paras Mandatory Standard for the Quality of Service (MSQoS). akan dihantar hampir masa nyata kepada MCMC dan penyedia perkhidmatan terlibat.
Ujian Data Experience turut menilai pengalaman pengguna ketika melayari web, menonton kandungan dan bermain permainan dalam talian. Integrasi aplikasi dengan JENDELA Map pula menjadikannya alat pelengkap yang penting kepada inisiatif peningkatan kesalinghubungan nasional.
Pengiktirafan ini menegaskan komitmen untuk memastikan semua rakyat Malaysia tanpa mengira lokasi, pendapatan atau latar belakang mendapat akses yang saksama kepada perkhidmatan digital yang penting dalam kehidupan seharian.



