Perak Negeri Pertama Selesai Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar

- Advertisement -

IPOH – Perak menjadi negeri pertama yang menteri besarnya mengangkat sumpah selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Tampan Datuk Seri Saarani Mohamad, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah Kuala Kangsar 5.40 petang ini.

Selain Perlis dan Pahang, Perak merupakan negeri ketiga yang melaksanakan Pilihan Raya Umum di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

DUN Perak mempunyai 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan memerlukan sokongan 30 ADUN bagi mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Pada PRU15, Perikatan Nasional (PN) memperoleh 26 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing mendapat 24 dan sembilan kerusi sekali gus membentuk kerajaan negeri baharu di Perak.

Kerajaan Perak sebelum ini dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu BN, Bersatu dan PAS.

Mengulas mengenai jajaran baharu politik negeri membabitkan BN dan PH ini, Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakuliti Sains Kemanusiaan Prof Dr. Ishak Saat berkata pembentukan kerajaan Perak itu menunjukkan satu perkembangan politik, apabila parti yang berbeza berlapang dada untuk bersama-sama mentadbir walaupun berlainan ideologi dan prinsip, semasa tempoh berkempen.

“Parti kena berkompromi menubuhkan kerajaan dari segi suasana politik dan ekonomi negara. Tiada masalah sebenarnya kerana mereka perlu mengambil langkah seterusnya, selepas tiada yang memperoleh majoriti pada PRU15 dan rakyat perlu menerimanya demi negara.

“Perak memerlukan 30 kerusi DUN bagi membentuk kerajaan negeri tetapi melalui gabungan BN dan PH mereka telah mendapat majoriti 33 kerusi, iaitu lebih dari sepatutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ishak berkata sehubungan itu, rakyat harus menerima keputusan itu kerana telah diberi perkenan oleh Sultan Nazrin Shah, yang dengan bijaksana membuat keputusan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak demi kestabilan ekonomi dan perpaduan rakyat.

Saarani, Pengerusi BN Perak dan Pengerusi UMNO Perak merupakan ADUN Kota Tampan sejak 2004 dan pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Perak pada 10 Dis 2020.

Pada PRU15, Saarani mendapat 5,468 undi menewaskan Mohd Jamil Yahya (Perikatan Nasional) dan Mohd Sabri Abdul Manaf (PH).

Saarani pernah berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak dari tahun 2018 hingga 2020.

Antara pencapaiannya sebelum ini ialah membuat langkah yang mengejutkan banyak pihak, apabila mengumumkan peruntukan sama rata kepada semua 59 ADUN kerajaan dan juga pembangkang pada Disember 2020.

Peruntukan sebanyak RM200,000 kepada setiap ADUN itu, tidak pernah berlaku dalam sejarah politik di Perak.

Manakala pada Mac tahun lepas, beliau mengumumkan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030, yang antara lain akan dijadikan asas memandu arah jentera kerajaan dalam pembangunan negeri sepanjang tempoh 10 tahun akan datang. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat