TUDM Lakukan Penerbangan Ihsan Untuk 3 Bayi

- Advertisement -

KUCHING: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan di sini, semalam, untuk membawa tiga bayi yang mengalami masalah jantung ke Kuala Lumpur.

Penerbangan menggunakan pesawat pengangkut A400M itu bertujuan membantu tiga bayi terbabit mendapatkan rawatan segera di Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Gleneagles.

Seorang bayi terbabit, Eliora Mia Nawan yang berusia 20 hari dan mengalami masalah jantung ‘Transposition of Great Arteries’ akan dirawat di Hospital Gleneagles, Ampang.

Dua lagi bayi, Marry Anne Methew Mavrick berusia 19 hari yang menghidap ‘Congenital Heart Block’, dan Abang Muhammad AlFatih Abang Mohammad berumur dua bulan yang mengalami masalah ‘Congenital Heart Disease’ pula akan menjalani rawatan di IJN.

Jurucakap TUDM dalam satu kenyataan berkata sebelum ini, semua bayi berkenaan menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Beliau berkata, penerbangan ihsan itu membabitkan pesawat pengangkut dari No 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang, yang diterbangkan oleh Mejar Mohd Shafique Mohd Amin dengan pembantu juruterbang, Kapten Wan Abdullah Wan Hanapi.

Mereka dibantu dua ‘Loadmaster’, iaitu Pegawai Waran 2 (PW2) Amran Rashid @ Jaafar dan Sarjan Mohd Naim Kamijan, serta dua ‘Supplementary Crew’, Koperal Mohamad Azim Jamal dan Koperal Harun Mustafa.

Pesawat itu berlepas dari Pangkalan Udara Kuching pada jam 7.07 malam dan tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 8.43 malam tadi.

Selain ibu masing-masing, tiga bayi terbabit juga diiringi dua pegawai perubatan serta dua jururawat.

“Seluruh warga TUDM mendoakan agar semua bayi berkenaan dapat menjalani rawatan dengan segera dan diberikan kesembuhan serta kembali sihat.

“Semoga usaha dilaksanakan TUDM dengan kerjasama pasukan perubatan, dapat melancarkan proses rawatan perubatan dan membantu meringankan beban ditanggung oleh keluarga mereka,” katanya.

Katanya, sebelum melaksanakan penerbangan ihsan itu, pesawat A400M berkenaan turut melakukan penerbangan ‘logistic comm’ yang membawa Tim Mobilisasi daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bersama peralatan perubatan daripada KKM dan badan bukan kerajaan (NGO), Academy Medicine of Malaysia serta Yayasan Amal Malaysia, ke Tawau dan Kota Kinabalu, Sabah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat