KUALA LUMPUR- Bakal jemaah haji yang tidak melepasi syarat kelayakan kesihatan minimum ditetapkan kerajaan Arab Saudi disaran menangguhkan giliran menunaikan ibadah haji ke tahun hadapan bagi memastikan mereka benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah itu bukan sekatan, sebaliknya peluang kepada bakal jemaah untuk memperbaiki tahap kesihatan sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Katanya, ibadah haji bukan sekadar menunaikan rukun Islam kelima, tetapi juga ujian kemampuan (istito’ah) yang turut merangkumi keupayaan fizikal dan mental seseorang jemaah.
“Tanpa tubuh yang sihat, ibadah haji yang sempurna sukar untuk dicapai. Syarat kesihatan ini bukan untuk menyusahkan, sebaliknya bagi memastikan keselamatan dan kesempurnaan ibadah para dhuyufurrahman,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Na’im berkata, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan garis panduan kesihatan baharu bagi semua negara bagi musim Haji 1447H/2026M dan Malaysia komited untuk mematuhinya sepenuhnya.
Katanya, Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) kini memperkukuh sistem pemeriksaan kesihatan wajib bagi memastikan hanya jemaah yang benar-benar layak dibenarkan berangkat.
“Bagi mereka yang belum memenuhi tahap kesihatan minimum, TH menyarankan penangguhan giliran haji agar mereka mempunyai masa mencukupi untuk menjaga kesihatan, mengamalkan gaya hidup sihat dan mengawal penyakit kronik,” katanya.
Mohd. Na’im berkata, semua penginapan jemaah di Makkah dan Madinah akan dilengkapi klinik kesihatan, farmasi serta pegawai perubatan bertauliah manakala kes serius akan dirujuk ke hospital Arab Saudi dengan pemantauan pakar KKM.
Katanya, kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Kesihatannya telah menyediakan kemudahan hospital moden sektor awam dan swasta dengan teknologi terkini serta menambah bilangan anggota kesihatan bagi operasi haji.
“Dengan 225 petugas perubatan KKM yang ditempatkan di Tanah Suci setiap tahun, kita yakin mutu perkhidmatan kesihatan jemaah Malaysia akan terus berada pada tahap terbaik,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), TH dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi akan terus bekerjasama bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan keselesaan jemaah haji Malaysia terpelihara.
“Saya yakin ibadah haji yang sempurna bermula dengan tubuh badan yang sihat dan hati yang bersedia,” katanya.



