“Jangan ganggu acara, laluan delegasi dan yang paling penting, jangan ganggu ketenteraman awam” – polis KL

KUALA LUMPUR – Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menganjur atau terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan ketenteraman awam sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di ibu negara hujung bulan ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Fadil Marsus berkata, pihaknya telah menerima maklumat awal berhubung kemungkinan penganjuran acara atau perhimpunan tertentu yang dijangka berlangsung ketika sidang kemuncak itu diadakan.

“Kita sudah menerima awal maklumat-maklumat tentang akan ada acara seperti ini namun kita akan menguruskannya dengan baik dan sedang berurusan terus dengan pihak penganjur bagi memastikan ia tidak menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Beliau dalam masa sama menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan gangguan atau kekacauan sepanjang persidangan berprestij itu berlangsung.

“Jangan ganggu acara, jangan ganggu laluan delegasi dan yang paling penting, jangan ganggu ketenteraman awam. Tiga perkara ini sangat jelas. Jika ada pihak yang melanggar amaran ini, tindakan tegas akan diambil,” tambahnya.

Mohd Fadil berkata, Sidang Kemuncak ASEAN kali ini merupakan antara tugasan besar buat PDRM khususnya bagi Polis Kuala Lumpur selaku hos utama yang bertanggungjawab memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kelancaran setiap pergerakan sepanjang sidang berlangsung.

Menurutnya, seramai 10,500 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sepanjang tempoh persidangan, melibatkan pelbagai jabatan serta pasukan bantuan daripada seluruh negara.

Sebanyak 17 hotel di sekitar Kuala Lumpur turut dijadikan tempat penginapan delegasi luar negara termasuk pemimpin dan pegawai kanan ASEAN.

Manakala beberapa laluan utama di kawasan segi tiga emas seperti KLCC dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akan ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan kepada pergerakan konvoi rasmi.

Beliau turut mengingatkan mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program atau aktiviti awam agar merujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa dan mematuhi semua arahan keselamatan yang telah ditetapkan.

“Pesanan saya kepada masyarakat di luar sana, sekiranya ingin terlibat dalam sebarang acara, rujuk kepada arahan keselamatan seperti yang telah dijelaskan.

“Jangan buat sebarang aktiviti tanpa kebenaran yang boleh menimbulkan kekacauan atau gangguan terhadap sidang kemuncak ini,” katanya lapor MalaysiaGazette pada Selasa.

Mohd Fadil juga menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal, menggunakan pengangkutan awam serta mematuhi arahan petugas trafik bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan sidang kemuncak ini berjalan dengan lancar. Patuhi arahan yang dikeluarkan dan elak melakukan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat