KUALA LUMPUR – Sebanyak RM44.6 juta telah diperuntukkan bagi menyenggara jalan persekutuan bagi daerah Sandakan dengan 24 bilangan Arahan Kerja (AK) pada tahun ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, secara keseluruhannya, Sandakan telah mendapat peruntukan yang tertinggi setakat ini.
“Jalan Persekutuan utama dari Bandar Sandakan ke persimpangan Batu 32, Laluan 22, Jalan Kota Kinabalu, Sandakan adalah dalam anggaran 56 kilometer.
“Jalan Persekutuan bagi kawasan di luar bandar Sandakan adalah dalam anggaran 41 kilometer dalam jajaran ini dan disenggara oleh Syarikat Konsesi Jalan Persekutuan Negeri Sabah dan dipantau oleh JKR Sabah.
“Kerja-kerja penyenggaraan yang dilaksanakan dibahagikan kepada 3 kategori iaitu kerja penyenggaraan rutin, kerja penyenggaraan berkala dan kerja kecemasan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang meminta penjelasan langkah yang diambil untuk memperbaiki keadaan jalan raya yang kurang diselenggara di kawasan luar bandar Sandakan.
Jelasnya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM81 juta di bawah P27 dan RM 50 juta untuk Program Penyenggaran Berkala di bawah Kontraktor G1- G4.
“Banyak lokasi-lokasi kritikal di laluan utama di Bandar Sandakan khususnya dan dari persimpangan Batu 32 ke Bandar Sandakan dapat dibaiki melalui pelaksanaan kerja berkala pavemen dan berkala bukan pavemen,” katanya.
Beliau turut memberitahu bagi jalan-jalan luar bandar selain jalan persekutuan seperti jalan negeri atau jalan kampung adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri Sabah.
“Peruntukan tambahan sebanyak RM90 juta telah membantu menyelesaikan backlog penyenggaraan berkala pavemen dan bukan pavemen di jalan persekutuan negeri Sabah.
“Kementerian ini melalui JKR Sabah akan sentiasa memastikan pemantauan penyenggaraan Jalan Persekutuan dilaksanakan tidak sahaja tertumpu di dalam bandar Sandakan tetapi jalan utama ke bandar Sandakan juga akan diberi perhatian agar keadaan jalan raya berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk pengguna jalan persekutuan,” katanya.
Melalui soalan yang sama, Vivian turut meminta penjelasan mengenai usaha yang diambil untuk memastikan penyelenggaraan lampu jalan mencukupi dan berfungsi dengan baik.
Alexander berkata, pada tahun 2023, peruntukan yang telah dibelanjakan untuk membaiki lampu jalan di daerah Sandakan adalah sebanyak RM300 ribu dan meningkat kepada RM1.6 juta untuk tahun 2024.
“Secara keseluruhannya pada tahun ini, permohonan peruntukan dari JKR Sabah bagi penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat adalah sebanyak RM9.7 juta dan Kementerian ini telah meluluskan keseluruhan permohonan tersebut secara berfasa.
“Selain dari isu peruntukan yang terhad, terdapat faktor lain yang menjadi cabaran dalam menangani isu kerosakan lampu jalan iaitu disebabkan oleh masalah vandalisme, kecurian kabel lampu jalan dan kerosakan akibat dilanggar.
“Penyenggaraan dan penambahbaikan lampu-lampu jalan ini akan terus dilaksanakan secara berperingkat bergantung kepada ketersediaan peruntukan semasa kerajaan.
“Peruntukan akan dipohon dari semasa ke semasa agar dapat menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di Sabah khususnya,” katanya.