KUALA LUMPUR – Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah mesti kekal terpelihara daripada sebarang bentuk konflik, ancaman atau tindakan ketenteraan.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa beliau menolak dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan orang awam, para jemaah haji dan umrah serta tetamu Allah, atau mencemarkan dua tempat suci umat Islam.
“Saya mengikuti dengan penuh keprihatinan perkembangan terkini yang menyentuh keselamatan dan kesucian.
“Pendirian saya jelas, walau dari mana sekalipun datangnya ancaman ini atau siapa pun yang berada di belakangnya, saya menolak dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan orang awam, para jemaah haji dan umrah serta tetamu Allah, atau mencemarkan dua tempat suci umat Islam.
“Malaysia menghormati kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah Kerajaan Arab Saudi serta menghargai hubungan persaudaraan yang erat dan sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.
“Sebesar mana sekalipun perselisihan politik atau ketenteraan, kesucian dua Tanah Haram tidak boleh dijadikan medan pertarungan atau bahan pertaruhan.
“Justeru, saya menyeru seluruh umat Islam supaya bersatu dan bersolidariti mempertahankan kesucian dua Tanah Haram, melangkaui perbezaan politik dan sempadan negara,” kata Zahid.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berdoa semoga Allah SWT terus memelihara Penjaga Dua Tanah Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada Baginda; melindungi dan memberikan taufik kepada Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud; serta merahmati seluruh rakyat Arab Saudi.
“Semoga Allah SWT terus memelihara Kerajaan Arab Saudi, mengurniakan keamanan, kestabilan dan kemakmuran kepadanya serta melindungi Dua Tanah Haram dan seluruh tetamu Allah daripada segala ancaman dan keburukan,” ujarnya.
Sebelum ini, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk keras serangan yang didakwa dilancarkan kumpulan Houthi terhadap kota suci Mekah dan wilayah Madinah baru-baru ini.
Sekretariat Agung OIC, berkata serangan itu menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang awam, mencabuli kesucian tanah suci dan masjid, serta mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Selain itu, OIC berkata sebarang tindakan yang menyasarkan tempat suci, masjid dan infrastruktur awam merupakan satu bentuk keganasan yang bertentangan dengan nilai Islam, norma antarabangsa dan undang-undang sejagat.
Menurut pertubuhan itu, pencabulan terhadap kesucian tanah suci merupakan tindakan yang tidak boleh diterima dan memerlukan langkah tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.
OIC turut menyatakan solidariti penuh terhadap Arab Saudi serta menyokong segala langkah yang diambil kerajaan negara itu bagi melindungi orang awam, kedaulatan negara dan kesucian tempat ibadat.
Pertubuhan itu juga menggesa masyarakat antarabangsa supaya bersama-sama mengutuk serangan berkenaan bagi mengelakkan ketegangan di rantau Asia Barat terus meningkat.


