Rabbani Intifada – Malam nostalgia, legasi & solidariti kemanusiaan

Malam Sabtu lalu, Idea Live Arena bagaikan bergetar dengan alunan nasyid. Hampir 5,000 penonton membanjiri dewan, bukan sekadar untuk menyaksikan konsert, tetapi untuk meraikan perjalanan seni kumpulan Rabbani yang sudah mencecah 28 tahun.

Ada yang hadir bersama keluarga, ada yang datang dengan rakan lama, malah tidak kurang juga generasi muda yang hanya mengenal Rabbani melalui cerita ibu bapa mereka. Namun semuanya berkongsi satu tujuan menyanyikan kembali lagu-lagu yang pernah menjadi “soundtrack” hidup masing-masing.

Tepat jam 8.30 malam, Rabbani memulakan persembahan dengan Assalamualaikum. Sorakan penonton bergema, tanda rindu yang terubat. Suasana terus jadi syahdu apabila Bila Nur Melimpah Di Hati berkumandang lagu yang seolah membawa penonton kembali ke dekad 90-an, saat nasyid berada di puncak populariti.

Dewan kemudian dikejutkan dengan kegirangan Cari Pasangan dan Anak Soleh, dua lagu yang masih segar dengan mesej mendidik dalam irama ringan. Saat Di Pondok Kecil dipersembahkan, ramai kelihatan mengangguk-angguk sambil mengingati zaman belajar. Penutup segmen dengan Bintang dan Purnama pula membuai jiwa dengan keindahan lirik dan harmoni vokal yang terjaga.

Segmen kedua membawa dimensi berbeza. Lagu Handzalah dilantunkan penuh bersemangat, diikuti Satu Qiblat Yang Sama yang meniupkan rasa persaudaraan umat Islam.

Namun, kemuncak segmen ini ialah ketika Berpaut Pada Sabdamu dinyanyikan. Ribuan penonton bangkit mengalunkan selawat bersama-sama, mencipta lautan suara yang meremang bulu roma. Ada yang menutup mata, ada yang mengangkat tangan, dan ada juga yang mengalirkan air mata semuanya hanyut dalam alunan pujian buat Rasulullah SAW.

Suasana kembali segar dengan Apa Yang Kau Tahu dan Khalifah, dua lagu yang membuktikan Rabbani tidak statik, sebaliknya mampu menyesuaikan diri dengan citarasa muzik kontemporari tanpa mengorbankan nilai kerohanian.

Segmen ketiga adalah segmen paling dinantikan penuh dengan emosi. Bermula dengan Pejalan Malam dan Syahadah, Rabbani membawa penonton ke ruang refleksi rohani. Kemudian Teman Sejati dan Untukmu Teman bergema, mengikat semula kenangan zaman remaja ramai yang hadir.

Namun, saat Pergi Tak Kembali berkumandang, seluruh dewan senyap. Lagu tribute buat Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim itu disertai montaj perjalanan seninya di layar utama. Ramai yang menitiskan air mata, ada yang menunduk, ada yang memeluk bahu teman di sebelah– tanda betapa kuatnya ikatan antara Rabbani dan peminatnya.

Husnul Khatimah kemudian menyusul, seakan doa yang dihantar bersama melodi, sebelum konsert ditutup dengan Intifada dalam arrangement baharu. Bukan sekadar lagu perjuangan, tetapi diiringi visual multimedia bertemakan Palestin, keamanan dunia, dan solidariti sejagat. Saat ribuan penonton mengangkat telefon bimbit menyalakan cahaya, dewan bertukar menjadi lautan bintang  simbol persatuan yang melangkaui agama, bangsa dan sempadan.

Apa yang membezakan konsert kali ini ialah penyertaan generasi baharu. Kehadiran Aeydan  anak kepada anggota Rabbani sendiri menjadi simbol bagaimana legasi nasyid ini tidak akan terhenti di satu era.

Kolaborasi bersama kumpulan Brothers, yang sinonim dengan era kegemilangan nasyid 90-an, serta vokalis Khalifah, Yabang, pula memperlihatkan kesinambungan seni nasyid yang merentas genre. Ia membuktikan nasyid boleh terus bernafas, bukan hanya sebagai irama nostalgia tetapi juga sebagai seni dakwah yang fleksibel mengikut zaman.

“Ini bukan sekadar konsert, tetapi kesinambungan amanah dakwah melalui seni. Kami mahu nasyid terus hidup dalam jiwa generasi muda,” kata Azadan Abdul Aziz dengan penuh semangat sejurus selepas persembahan.

Dua jam persembahan itu terasa terlalu singkat bagi penonton yang hadir. Mereka bukan sahaja dihidangkan deretan lagu ikonik, tetapi juga perjalanan penuh emosi – daripada nostalgia, semangat perjuangan, tribute syahdu, hingga mesej universal tentang kemanusiaan.

Intifada Rabbani membuktikan bahawa nasyid bukan hanya milik semalam. Ia masih segar, relevan, dan mampu menjadi jambatan yang menyatukan generasi, menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW, serta mengangkat suara solidariti buat seluruh manusia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat