KUALA LUMPUR- Tugas Perdana Menteri bukan sebagai jurucakap bagi pihak Peguam Negara.
Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid menegaskan, ini untuk memastikan tiada isu berkaitan campur tangan pihak eksekutif dengan pentadbiran sistem perundangan negara.
“Apatah lagi bila mana si tertuduh yang mendapat keuntungan daripada syor dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) ini adalah orang nombor dua dalam eksekutif.
“Ya, isu paling besar dalam DNAA ini adalah kerana ianya menguntungkan dua individu sahaja yang saling perlu memerlukan secara simbolik yakni Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
“Maka di Dewan Rakyat, Perdana Menteri menjadi Peguam Negara . Cuba sedaya mungkin mempertahan Timbalan Perdana Menteri. Cuba sehabis baik memberi sebab atau bercakap bagi pihak Peguam Negara menjelaskan isu DNAA Timbalan Perdana Menteri beliau sendiri,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Khamis.
Menurut Rafiqe lagi, masalah paling besar isu DNAA ini adalah kerana ia membabitkan orang nombor dua dalam kerajaan.
“Serta ianya berlaku selepas TPM dilantik atas nasihat Perdana Meneteri pada 2 Disember 2022.
“Kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya bermula Julai 2018 dan sepertimana semua pihak tahu pada 23 Januari 2022 setelah 99 saksi pendakwaan, 53 hari perbicaraan pada tahap kes pendakwaan dalam tempoh 3 tahun 5 bulan, Zahid dipanggil membela diri.
“Dalam tempoh Zahid melalui kes pada tahap pendakwaan, Malaysia telah bertukar dari PM7 ke PM8 sehingga ke PM9 dan PN bertukar daripada Tan Sri Tommy Thomas ke Peguam Negara yang baru,” jelas beliau.
Tambahnya, dalam tempoh 3 tahun 5 bulan itu, langsung tiada apa-apa syor untuk memberhenti atau menarik balik pertuduhan terhadap Zahid.
“Seperkara yang mesti kita semua fahami adalah mengenai memo bocor bertarikh 17 Oktober 2018. Ianya tidak terpakai lagi sebaik sahaja Yang Arif Hakim mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes pada tahap prima facie terhadap Zahid.
“Dalam bahasa mudah, Yang Arif percaya kesemua ramuan pertuduhan mencukupi dan Zahid perlu bela diri. Maka, memo dan kandungan memo itu tidak terpakai lagi.
“Tarikh pelantikan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri amat penting. Kerana ianya adalah selepas Zahid dipanggil bela diri dan sedang dalam proses bela diri,” katanya.
Ujar Rafique lagi, dalam “11 Alasan Mengapa DNAA dipohon” oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) antara lainnya dinyatakan keperluan meneliti empat surat Representasi yang diutus oleh peguam bela Zahid.
Katanya, secara asasnya surat representasi adalah permohonan oleh pembelaan kepada pendakwaan samada memohon tarik balik atau pengurangan kepada pertuduhan ataupun perbincangan mengenai pengurangan hukuman .
“Mahkamah tidak menjadi pihak dalam isu surat representasi. Ianya antara pembelaan dan pendakwaan sahaja.
“Bagi Zahid, surat-surat representasi bertarikh 8 Disember 2022, 25 Januari 2023, 28 Februari 2023 dan 7 Mac 2023. Kesemuanya selepas Zahid berada dalam posisi sebagai Timbalan Perdana Menteri orang nombor dua dalam eksekutif.
“Walau apapun kata PM serta penyokong-penyokong beliau, sebaik sahaja Perdana Menteri memilih Zahid yang telah dipanggil bela diri sebagai Timbalan Perdana Menteri ianya merupakan isyarat jelas bahawa akan ada usaha-usaha berterusan untuk Zahid mendapat laluan mudah dalam sistem pendakwaan negara.
“Berteriaklah sekuat mana pun mengenai tatakelola, integriti,standard tinggi dalam pentadbiran atau impian reformasi institusi, ianya amat dangkal bahawa seorang yang telah dipanggil bela diri dan belum dibebas sepenuhnya oleh sistem kehakiman dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Ya , Peguam Negara ada kuasa dibawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 145(3) . Budi bicara ada pada Peguam Negara bukan pada Perdana Menteri yang seharusnya jelaskan adalah Peguam Negara bukan Perdana Menteri,” tegas Rafique.
Kata beliau, sebaik sahaja Perdana Menteri mula berkali-kali mempertahan isu DNAA ini ianya menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
“Yang merisaukan semua pihak adalah penerima laba DNAA ini adalah Timbalan Perdana Menteri yang sokongan partinya adalah amat-amat perlu bagi Perdana Menteri kekal sebagai Perdana Menteri.
“Selagi mana tiada pengesahan daripada Peguam Negara mengenai status siasatan yang dikatakan perlu dilalukan pada kertas siasatan Zahid selagi itulah segala spekulasi akan bertiup.
“Kesemuanya berpunca daripada Perdana Menteri yang memilih menjadi jurucakap bagi Peguam Negara. Saya yakin, Perdana Menteri bukan Peguam Negara,” katanya.