‘Anirudh memukau menyanyi, menari tanpa henti’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bagaikan pesta cahaya. Itulah gambaran dapat diberikan selepas menyaksikan Konsert Once Upon A Time Tour yang dijayakan penyanyi dan komposer tersohor Kollywood, Anirudh Ravichander yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Menepati tema dipilih, ‘Glow In The Dark’, konsert berdurasi tiga jam itu mengetengahkan teknologi Xyloband yang membolehkan seluruh stadium dilimpahi dengan cahaya neon.

Pancaran cahaya warna-warni bukan sahaja memberikan panorama menarik, malah bersesuaian dengan genre muzik yang rancak, bertenaga yang diketengahkan penyanyi lelaki berusia 32 tahun itu.

Sejajar teknologi digunakan, penonton diberikan gelang LED yang sudah diprogram. Ini bagi membolehkan lampu pada gelang menyalakan cahaya pelbagai warna, mengikut lagu dinyanyikan rockstar yang berasal dari Selatan India itu.

Tidak dinafikan konsep ‘Glow In The Dark’ atas permintaan Anirudh itu bukan sahaja menjadikan suasana stadium bersinar, malah membangkitkan mood penonton untuk menari dan menyanyi bersama.

“Teknologi Xyloband ini memang menjadi pilihan saya, sekali gus menjadi artis Tamil pertama yang menggunakan teknologi ini,” kata Anirudh yang tampil mengenakan jaket dan seluar sedondon rona monokrom.

Muncul tepat jam 8.45 malam, Anirudh menyapa peminat dengan lagu Once Upon A Time yang menjadi lagu pembuka tirai konsert, sekali gus mengundang sorakan penonton pelbagai lapisan usia.

 

Bukan sahaja mempunyai kelebihan dari aspek fizikal, malah Anirudh memiliki kuasa memukau penonton dengan persembahannya yang mampu menjadikan adrenalin penonton mengalir laju. - Foto Ihsan Amore Production
Bukan sahaja mempunyai kelebihan dari aspek fizikal, malah Anirudh memiliki kuasa memukau penonton dengan persembahannya yang mampu menjadikan adrenalin penonton mengalir laju. – Foto Ihsan Amore Production

 

Suasana menjadi lebih meriah apabila penonton turut menyalakan lampu telefon bimbit untuk beberapa lagu yang didendangkan, diikuti paparan visual grafik di skrin gergasi atas pentas.

Julung kali menonton persembahannya, Anirudh mempunyai pesona tersendiri. Dengan pakej lengkap dimiliki, tidak hairanlah mengapa menjadi kegilaan peminat di seluruh dunia.

Bukan sahaja mempunyai kelebihan dari aspek fizikal, malah Anirudh juga memiliki kuasa memukau penonton dengan persembahannya yang mampu menjadikan adrenalin penonton mengalir laju.

Genre muziknya yang banyak dipengaruhi alat muzik moden dan tradisional itu membolehkannya menari, melompat hingga penonton juga ikut terkinja-kinja, bergoyang serta larut dalam alunan melodi didendangkan.

Melihat kepada sikap sporting yang ditunjukkan audiens, Anirudh tidak henti-henti memuji sokongan diberikan.

“Ini adalah kali keempat saya mengadakan konsert di Malaysia. Setiap kali berkunjung, bilangan penonton yang hadir semakin bertambah.

“Malam ini jumlahnya semakin ramai hingga memenuhi ruang depan pentas ini. Terima kasih atas sokongan yang diberikan. Jadikan malam ini paling diingati untuk kita semua,” katanya sambil disambut dengan sorakan penonton.

Anirudh turut membuat kejutan apabila muncul di tengah arena dikelilingi penonton untuk menyampaikan lagu popularnya seperti Po Nee Po dan Kanave Kanave sambil bermain keyboard.

 

Konsep ‘Glow In The Dark’ atas permintaan Anirudh bukan sahaja menjadikan suasana stadium bersinar, malah membangkitkan mood penonton untuk menari dan menyanyi bersama. - Foto Ihsan Amore Production
Konsep ‘Glow In The Dark’ atas permintaan Anirudh bukan sahaja menjadikan suasana stadium bersinar, malah membangkitkan mood penonton untuk menari dan menyanyi bersama. – Foto Ihsan Amore Production

 

Konsert dibawakan khas oleh MC Entertainment serta disokong oleh Tourism Malaysia itu turut menampilkan rakan duet Anirudh, Jonita Gandhi dan Naan Pizhai fame Ravi G.

Bukan mudah menyanyikan lebih 40 lagu yang hampir semuanya berentak rancak. Stamina kena kuat dan pada masa sama, kawalan suara juga perlu dijaga.

Namun, Anirudh membuktikannya seorang penyanyi unggul. Kecergasannya atas pentas tidak terjejas langsung, walaupun perlu menyanyi sambil menari.

Malah, keghairahannya semakin menjadi-jadi, meskipun hari sudah hampir lewat malam. Walaupun beberapa kali mahu mengakhiri persembahan, demi peminat setia menunggu, Anirudh membalas kesetiaan dengan melantunkan beberapa lagu tambahan, sekali gus membuat penonton pulang dengan wajah penuh kepuasan.

Konsert Once Upon A Time Tour turut diserikan dengan persembahan kumpulan pemuzik gendang iaitu Dhol Ambassadors dan Tirusuli Aiyanar Urumi Melam.

Times of India memberi gelaran ‘Most Desirable Man in Chennai’ kepada Anirudh yang juga anak pelakon Ravi Raghavendra untuk dua tahun berturut-turut pada 2017.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat