Bank Rakyat meterai program Sukuk Wakalah

- Advertisement -

BANK Rakyat menjangkakan program Sukuk Wakalah Bank Rakyat dengan nilai nominal RM10 bilion bagi 30 tahun akan membolehkannya memperoleh dana jangka panjang dengan kadar tetap.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rosman Mohamed berkata, program sukuk itu juga akan mempelbagaikan komposisi pendanaan jangka panjang dan untuk terbitan pertama ini, Bank Muamalat Malaysia Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad dilantik sebagai pengurus utama bersama.

“Penerbitan pertama Sukuk ini dijangka bermula dalam waktu terdekat dengan saiz terbitan sebanyak RM500 juta dengan pilihan untuk meningkatkan terbitan. Sukuk ini adalah dana jangka panjang dan sebagai permulaan kami menyasarkan terbitan antara RM500 juta hingga RM1 bilion bergantung kepada permintaan.

“Kami berkeyakinan dengan keadaan pasaran sekarang terbitan sukuk ini menjadikan portfolio liabiliti kita lebih pelbagai dan bank akan stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Program Sukuk Wakalah Bank Rakyat Dengan Nilai RM10 bilion di Menara Bank Rakyat, di Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Hadir dan merasmikan program itu ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Pengarah Imtiaz 11 Sukuk Berhad, Yam Kwai Ying Sharon; Ketua Pegawai Eksekutif, MTrustee, Nurizan Jalil; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohammad Mentek, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Abd Rani Lebai Jaafar.

Majlis menandatangani memorandum perjanjian disertai Ketua Pegawai Eksekutif, Maybnak Investment Bank, Fad’l Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Investment Bank, Jefferi M. Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif, RHB Investment Bank, Robert Huray; Ketua Pegawai Eksekutif, Bank Muamalat Berhad, Khairul Kamarudin.

Rosman berkata, terbitan sukuk itu akan dilaksanakan melalui sebuah syarikat tujuan khas, Imtiaz Sukuk II Berhad dan Maybank Invetsment Bank Berhad telah dilantik sebagai penasihat prinsipal (Principal Adviser) dan pengatur utama (Lead Arranger) bagi Program Sukuk Wakalah.

“Program ini distruktur berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi A-Istithmar yang telah dipersetujui oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, diberikan penarafan AA2 (s) oleh RAM Rating Berhad,” katanya.

Beliau berkata, program ini juga akan mengurangkan kebergantungan bank kepada pendeposit korporat sekali gus meningkatkan nisbah regulatori untuk keperluan perniagaan perbankan.- sinar harian.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat