KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi menuntut penjelasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad dilepas dan dibebaskan daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa selepas membayar kompaun RM4.1 juta.
Puad mempersoalkan, adakah kesalahan rasuah dianggap “minor” seperti saman trafik sehingga layak dikompaun?
“Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Bin Adam Muhammad daripada 12 pertuduhan rasuah dan AMLA. Dia membayar kompaun RM4.1 juta.
“Apakah kesalahan kes rasuah boleh dikompaun? Setakat yang kita tahu, kesalahan “minor” seperti saman trafik boleh dikompaun untuk penyelesaian pentadbiran tapi bukan untuk meringankan hukuman.
“Maka bagaimana 12 kes melibatkan rasuah boleh di kompaun? Apakah Akta AMLA 2001 yang membenarkan kompaun boleh digunakan untuk kompaun kes rasuah berjuta ringgit? SPRM wajib bagi penjelasan,” tuntut Puad.
Semalam, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa selepas membayar kompaun RM4.1 juta.
Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima representasi yang dikemukakan Adam Radlan pada 3 Jun lepas.
“Mahkamah memutuskan bahawa tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan memandangkan pihak pendakwaan telah menarik balik semua pertuduhan itu dan tidak berniat untuk meneruskan kes ini lagi,” katanya.
Terdahulu Farah Yasmin berkata representasi tersebut telah diterima dan pihak SPRM bersetuju dengan cadangan kompaun RM4.1 juta dibayar oleh Adam Radlan di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“Oleh itu pihak pendakwaan memohon agar tertuduh dilepas tanpa dibebaskan memandangkan pendakwaan telah bersetuju untuk menarik balik kesemua pertuduhan yang dipertuduhkan ke atas tertuduh,” katanya.
Perbicaraan kes itu telah bermula pada 9 Julai 2024 dengan 11 saksi pendakwaan sudah pun memberi keterangan.
Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.
Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah tertuduh membantu Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Lian, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.



