KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad tampil memperjelas dakwaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kononnya bekas Perdana Menteri itu mahu mengharamkan Umno.
Dr Mahathir memberitahu beliau hanya menyuruh Zahid membubarkan Umno kerana parti Melayu itu sudah kalah dan perjuangan telah menyimpang.
“Beberapa media konvensional dan sosial telah meminta penjelasan lanjut berkaitan dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad mahu mengharamkan Umno.
“Ini tidak benar sama sekali. Dr Mahathir tidak pernah berusaha mengharamkan Umno seperti didakwa Timbalan Perdana Menteri itu.
“Sesungguhnya jika Dr Mahathir berhasrat untuk mengharam UMNO beliau sebagai PM boleh arah Menteri Dalam Negeri melakukannya serta merta. Tetapi selama dua
tahun lebih Dr Mahathir jadi Perdana Menteri Umno terus berada.
“Dr Mahathir menyuruh Zahid membubarkan UMNO kerana parti itu sudah kalah (dalam Pilihan Raya Umum 14), tidak lagi mewakili orang Melayu; pemimpin-
pemimpinnya terkait dengan rasuah dan sudah tidak lagi berjuang demi agama, bangsa dan tanah air seperti tujuan asal parti itu ditubuhkan,” kata kenyataan yang diterbitkan Pejabat Tun Dr Mahathir pada Rabu.
Mengulas lanjut, pembubaran yang dicadangkan terletak di atas bahu Zahid dan kepimpinan Umno jika mereka menyedari bahawa parti itu telah terpesong dari perjuangannya dan tidak layak menggunakan nama Umno.
“Zahid juga kemudiannya telah didakwa di mahkamah atas 47 pertuduhan berkaitan rasuah.
“Bahawa parti yang bernama Umno masih ada hingga sekarang membukti parti itu tidak pernah diharamkan,” tegasnya.
Pada 10 Ogos lalu, media melaprkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengaku menjadi dalang utama menyingkirkan Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas mengetahui bekas perdana menteri itu mahu mengharamkan Umno.
Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan, tindakan Dr Mahathir diketahuinya daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa di Institut Latihan Memperkasakan Umno, Janda baik.
Menurut beliau, tindakan luar biasa itu yang dilakukan itu adalah wajar dalam keadaan mendesak demi menyelamatkan UMNO.
“Datuk Seri Anwar katakan kertas untuk haramkan Umno telah pun ada di atas meja Menteri Kementerian Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yasin) untuk haramkan UMNO.
“Dalam situasi macam itu tentulah ahli-ahli mengharapkan kepada saya dan memikir cara terbaik untuk Umno tidak diharamakan. Saya terpaksa cari jalan,” katanya.