KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kepada polis bahawa tidak ada sepatah perkataan pun dalam ucapan beliau di pentas kempen di Nenggiri yang menghina Raja atau mempertikai keputusan Yang Di-Pertuan Agong pada masa itu.
Muhyiddin sebaliknya menegaskan beliau sekadar menyatakan fakta mengenai 115 Akuan Berkanun (SD) ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15.
“Hari ini pihak polis telah mengambil kenyataan saya berhubung ucapan saya semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri. Saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan menjelaskan fakta-fakta berhubung ucapan saya.
“Ucapan saya langsung tidak mempunyai niat untuk menghina institusi Raja di negara ini. la adalah ucapan kempen pilihan raya di mana saya menyatakan fakta-fakta mengenai penubuhan kerajaan selepas PRU-15 secara sepintas lalu, dan kemudiannya menceritakan mengenai kesusahan hidup rakyat disebabkan dasar-dasar kerajaan yang menekan mereka.
“Namun begitu, terdapat pihak yang telah memutarbelit ucapan saya termasuk menyunting video ucapan saya dengan niat untuk memfitnah kononnya saya telah menghina Kebawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah dan menghasut rakyat supaya membenci Raja,” kata Presiden Bersatu itu dalam kenyataan selepas memberi keterangan kepada polis pada Rabu.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, dalam kenyataan kepada pihak polis hari ini beliau telah menjelaskan tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat.
“Saya hanya menyatakan fakta mengenai 115 Akuan Berkanun (SD) ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15. Tidak ada sepatah perkataan pun dalam ucapan saya yang menghina Raja atau mempertikai keputusan Yang Di-Pertuan Agong pada masa itu.
“Perkara ini pun telah berlaku hampir dua tahun yang lalu dan sepanjang tempoh itu saya tidak pernah menghasut atau mengajak rakyat untuk menghina atau membenci institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.
“Saya juga tidak pernah menuntut untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Malah, pada 24 November 2022, saya telah mengeluarkan kenyataan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Ke-10 (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Apa yang saya sebut dalam ucapan saya hanyalah fakta yang menjadi sebahagian daripada rekod sejarah,” jelas bekas Perdana Menteri itu lagi.
Sehubungan itu, untuk tujuan membantu siasatan, Muhyiddin telah menyerahkan kepada pihak polis dokumen-dokumen berikut iaitu dua pucuk surat daripada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat kedua-duanya bertarikh 20 November 2022 yang mengandungi titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 meminta mana-mana ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain untuk menjadi Perdana Menteri menghantar Akuan-Akuan Berkanun kepada lstana Negara selewat-lewatnya pada 21 November 2022 sebelum jam 2.00 petang; sebanyak 114 Akuan Berkanun ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang telah diserahkan kepada lstana Negara pada 21 November 2022, jam 1.28 petang, sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada lstana Negara pada 22 November 2022 dan Surat Akuan Penerimaan Akuan Berkanun daripada Kolonel (B) Dato Nazim Mohd Alim, Setiausaha Sulit Kanan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16, bertarikh 21 November 2022 yang mengesahkan bahawa beliau telah menerima dokumen-dokumen tersebut; serta dokumen-dokumen lain yang berkaitan.
“Dengan penjelasan saya kepada pihak polis beserta dokumen-dokumen yang saya serahkan kepada mereka, saya berharap pihak polis akan menjalankan siasatan dengan telus, adil dan saksama menurut lunas undang-undang.
“Sebagai seorang rakyat biasa, saya bernaung di bawah kebesaran dan kemuliaan Raja-Raja Melayu dan taat setia saya kepada institusi Raja Berperlembagaan jangan dipersoalkan,” tegas Muhyiddin.