KUALA LUMPUR – Statistik kes pembunuhan di Malaysia menunjukkan majoriti kejadian membabitkan keadaan mangsa dan suspek saling mengenali.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata ia biasanya melibatkan hubungan kekeluargaan atau persahabatan.
“(Biasanya) berlaku sesuatu isu atau konflik antara kedua-dua pihak ini. Sama ada hubungan menjadi tidak baik, perniagaan yang kemudian menjadi tidak baik… ada juga kes disebabkan penggunaan bahan terlarang dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan penubuhan pasukan Behavioral Science Unit (BSU) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur pada Rabu, lapor Astro Awani.
Mengulas lanjut, tambah beliau, jumlah kes pembunuhan yang berlaku secara spontan dalam negara ini adalah kecil.
“Contohnya samun dan kemudian terjadi pembunuhan… itu berlaku tetapi dalam kadar yang begitu kecil dan (berbanding) negara lain ia berlaku dengan kadar yang begitu besar.
“Justeri BSU ini ditubuhkan dalam konteks mengenal pasti faktor serta dinamik kes sedemikian… kemudian kita zahirkan kepada pihak pembuat dasar untuk (menghasilkan) dasar yang lebih baik supaya masyarakat berubah daripada apa yang ada sekarang di masa hadapan,” katanya.