Oleh: Zihan Zari
GERIK – Seramai 20 pelajar Seni Visual Kreatif dan Fesyen & Pakaian Kolej Komuniti Negeri Perak (KKNP) melakar kejayaan apabila menghasilkan busana batik dalam program Perak Style Golden Hands Award di AEON Mall Kinta City.
Program selama dua hari itu bersempena Hari Belia 2024 Peringkat KKNP yang dianjurkan oleh Kolej Komuniti (KK) Batu Gajah.
Perasmian penutupnya telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Kinta , Zulhisham Ahmad Shukori pada Ahad.
Zulhisham berkata, program Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kini menjadi pemacu utama atau game changer dalam usaha kerajaan melahirkan tenaga mahir tempatan berkemahiran tinggi.
“Kerajaan akan meningkatkan keupayaan belia Malaysia dalam TVET bagi memastikan keperluan industri berteknologi tinggi akan dipenuhi oleh warga kerja tempatan.
“Lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang menawarkan gaji setimpal dapat diwujudkan selaras dengan usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia.
”Tenaga pengajar perlu memperkukuhkan diri dengan ilmu pengetahuan, kepakaran, kemahiran secara berterusan dan berstruktur, menerusi pelbagai program kemahiran dan peningkatan kemahiran (reskilling dan upskilling) serta realiti sangkutan.
”Selain itu, memupuk amalan pembelajaran sepanjang hayat, dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan kepada pelajar adalah yang terkini dan memenuhi kehendak realiti,” katanya.
Menurut beliau lagi, pelajar juga perlu manfaatkanlah ruang dan peluang yang telah diberikan untuk menuntut di Kolej Komuniti bagi mencipta kejayaan pada masa hadapan.
“Berusahalah bersungguh-sungguh dengan mempersiapkan diri dengan ilmu kemahiran, demi mendepani realiti dunia luas yang kian mencabar dan berubah – ubah.
“Alumni dan bekas pelajar yang telah berjaya perlu diangkat sebagai ikon dan duta kepada Kolej Komuniti.
“Mereka ini dapat membantu menyebarluaskan kejayaan TVET agar ianya menjadi sumber inspirasi kepada pelajar – pelajar dan masyarakat di Perak terhadap program TVET di Kolej Komuniti negeri ini.
“Penghasilan busana batik dari KK Chenderoh dan KK Batu Gajah ini berupaya mengangkat jenama program pengajian yang mereka pelajari di Kolej Komuniti ini.
“Kolaborasi bersama pihak industri diharapkan lebih murni dalam mencapai hasrat pimpinan negara bagi menghasilkan modal insan yang berketrampilan dan holistik sesuai dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” ujarnya lagi – SUARA.TV