Tujuh Exco Selangor angkat sumpah, seorang dari BN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Selangor membariskan tujuh Pengerusi Jawatankuasa Tetap (Exco) baharu termasuk seorang mewakili Barisan Nasional (BN), bagi penggal ini.

Bekas Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, daripada DAP adalah antara yang mengangkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor penggal ini.

Enam yang lain adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail (BN); ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi (PH); ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin (PH); ADUN Banting, V Papparaidu (PH); ADUN Seri Setia, Dr Mohammad Fahmi Ngah (PH) dan ADUN Taman Templer, Anfaal Saari (PH).

Tiga bekas Exco yang dilantik semula adalah ADUN Kinrara, Ng Sze Han (PH); ADUN Pandan Indah, Izham Hashim (PH) dan ADUN Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah (PH).

Dari segi komposisi parti, tiga ADUN mewakili PKR iaitu Borhan, Mohd Najwan dan Mohammad Fahmi; DAP mempunyai empat wakil iaitu Sze Han, Suee Lim, Jamaliah dan Papparaidu.

Amanah diwakili dua ADUN iaitu Izham dan Anfaal manakala Mohd Rizam mewakili Umno.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta pengurniaan Surat Cara Lantikan itu diadakan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, petang ini.

Istiadat angkat sumpah itu yang disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab pada jam 2.30 petang tadi.

Yang turut mengiringi baginda, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Istiadat berkenaan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim dan Ahli Dewan Diraja, lapor BH di Klang.

Terdahulu, Amirudin mengangkat sumpah dan melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi beberapa perkara yang perlu beliau penuhi dan patuhi sepanjang memegang jawatan itu.

Dengan sempurnanya majlis istiadat ini, Selangor menjadi negeri terakhir melengkapkan barisan pentadbiran negeri selepas menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.

Amirudin ketika ditemui media mengesahkan portfolio barisan Exco akan diumumkan Rabu ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat