Dilema Pulau Labuan

- Advertisement -

Menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan hadapan, Wilayah Persekutuan Labuan akan kembali menjadi satu topik yang sangat menarik untuk diperhatikan.

Sejak beberapa bulan lalu saranan dan janji untuk membawa pulang Labuan kepada Sabah mula mendapat perhatian setelah idea ini dilontarkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perangcang Ekonomi) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Gesaan Rahman, yang juga merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno itu, bersandarkan kekecewaan dengan keputusan kerajaan Persekutuan (Pakatan Harapan) membatalkan projek Jambatan Laut Labuan yang bakal menghubungkan pulau Labuan dengan tanah besar Sabah.

Projek Jambatan Laut Labuan dan Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030 telah dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan (Barsan Nasional) pada Januari 2018. Bagaimanapun perubahan pentadbiran selepas Mei 2018 telah mejejaskan segala perancangan pembangunan Labuan.

Barisan Nasional (BN) Sabah secara tidak rasmi telah pun mengumumkan untuk memasukkan tuntutan mengembalikan pulau Labuan kepada Sabah dalam manifesto PRN.

BN tidak bersendirian apabila Julai lalu, Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli (Warisan), turut meminta agar Labuan dikembalikan kepada Sabah jika Persekutuantidak dapat membangunkannya.

Sejarah Pulau Labuan

Mahu tidak mahu kita perlu mengakui Labuan yang terletak sekitar 10 km dari pantai Sabah, dari segi sejarah, geografi, kebudayaan, dialek dan ciri kependudukannya sangat rapat dengan negeri di bawah bayu itu.

Dari segi sejarah, seawal 1800 Labuan merupakan sebahagian pentadbiran kesultanan Brunei dan menjadi tempat kapal-kapal berlindung daripada ribut dan serangan lanun.

Kemudiannya, Labuan secara rasmi diserahkan kepada British oleh Raja Muda Hasim pada 18 Disember 1846. British mengisytiharkannya sebagai pelabuhan bebas dan pada 1888 meletakkan Labuan di bawah pentadbiran British North Borneo Company, yang dikenali sebagai The Chartered Company.

Pada 1907 sekali lagi berlaku perubahan pentadbiran apabila Bristish mengambil alih semula pentadbiran Labuan dan meletakkan di bawah pentadbiran Negeri-Negeri Selat. Bagaimanapun pada 1942 Jepun telah merampas Labuan dan menukarnya kepada nama Pulau Maida.

Penjajahan Jepun ke atas Labuan tidak lama apabila Jeneral Masao Baba menandatangani surat perjanjian menyerah kalah di Pantai Layang-Layangan di hadapan Jeneral Mejar George F. Wootten, Komander Tentera Divisyen ke-9 Australia pada 1945.

Ini sekaligus mengembalikan pulau Labuan kepada Empayar British. Pada 1947, sebagai sebahagian proses pembaharuan pendatbiran British kepada tanah-tanah jajahannya, Lembaga Bandaran ditubuhkan untuk mentadbir Labuan.

Selepas 16 September 1963, Labuan berada di bawah pentadbiran negeri Sabah dan kekal sedemikian sehingga sehingga 16 April 1984 apabila ia diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan Labuan.
Dari segi kependudukan lebih 80% penduduk labuan terdiri daripada masyarakat Bumiputera Melayu, kadazan/Dusun dan Bajau.

Jadi dari segi indentiti sosial Labuan adalah sebahagian daripada Sabah. Hanya pentadbiran di bawah Persekutuan.

Labuan Sebagai Wilayah Persekutuan

Ada beberapa sebab Labuan diangkat sebagai sebahagian Wilayah Persekutuan. Antaranya, kerajaan ketika itu mempunyai perancangan untuk menaik taraf pulau ini sebagai pusat kewangan dan pelancongan antarabangsa.

Bagi menjayakan rancangan ini, Kerajaan Persekutuan perlu mempunyai kawalan langsung dalam pentadbiran Labuan bagi memudahkan penyediaan infrastruktur, pembangunan dan penggubalan perundangan kewangan.
Selain itu, kerajaan Persekutuan merancang untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam. Ini membolehkan kerajaan negeri Sabah menumpukan perhatian kepada pembangunan prasarana di tanah besar Sabah sahaja.

Pada 1 Oktober 1990, Labuan telah diisytiharkan sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa (IOFC).

Sejak dijadikan Wilayah Persekutuan dan diumumkan sebagai IOFC, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan berbilion ringgit bagi meningkatkan infrastruktur dan mengubah rupa Labuan.

Dari sebuah pulau yang tersisih dari pembangunan dan sekadar bernostalgia mengenai sejarah lampau, Labuan bertukar kepada sebuah kawasan yang mempunyai prasarana moden seperti lapangan terbang, dermaga, jeti, pusat kewangan, jaringan komunikasi dan struktur organisasi yang tersusan sebagai usaha menjadikannya sebuah pusat kewangan pesisir pantai.

Justeru mendakwa Labuan diabaikan dan tertinggal dari arus pembangunan negara adalah tidak tepat. Malah Labuan boleh dikatakan lebih bernasib baik berbanding sesetangah bahagian di Sabah dan Sarawak.

Ini bukan bermakna penduduk di Sabah diabaikan berbanding Labuan. Sebaliknya kesungguhan kerajaan Persekutuan membangunkan Labuan adalah untuk kerancakan ekonomi Sabah juga. Jika Labuan berjaya menjadi pusat kewangan dan pelancongan yang terkemuka, limpahan ekonomi akan tempias ke Sabah, bukannya Kuala Lumpur.

Boleh dikatakan niat kerajaan Persekutuan ketika itu adalah untuk menjadikan Labuan sebagai salah satu katalis kepada pembangunan ekonomi Sabah.

Sudah tentu kita tahu idealisme pembangunan IOFC ini terbantut apabila negara dan dunia mengalami krisis kewangan yang dahsyat pada 1997 dan 1998. Ini turut menganggu perancangan ke atas Labuan.
Pembangunan Labuan sekali lagi diberi fokus di bawah pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melalui pelancaran Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030. Namun sekali lagi racangan ini terbantut dengan kekalahan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Dilema Labuan

Pada hemat saya menyerahkan kembali Labuan kepada negeri Sabah bukan satu masalah besar kepada Persekutuan.

Namun timbul persoalan, apakah kerajaan negeri Sabah mampu memberi nilai tambah kepada Labuan; atau ia hanya melambatkan lagi usaha mengeksploitasi potensi ekonomi yang ada pada pulau tersebut.

Selain itu, ada kekhuatiran mengembalikan Labuan kepada Sabah akan turut menganggu usaha kerajaan negeri membangunkan kawasan-kawasan lain di negeri Sabah yang masih tertinggal.

Dengan kata lain ruang dan beban menguruskan Sabah sangat besar, mengapa harus ditambah satu lagi tanggungjawab.

Sedangkan walaupun dalam pentadbiran Persekutuan, apa sahaja kejayaan dan kemajuan Labuan, ekonomi hilirannya akan melimpah ke Sabah sebagai kawasan berhampiran; bukannya Kuala Lumpur atau Semenanjung.
Sebarang perubahan kedudukan Labuan juga harus mengambil kira pandangan penduduk Labuan yang sebenarnya mengharapkan kerajaan Persekutuan mengota janji menaikan taraf ekonomi pulau ini.

Keputusan sama ada Labuan perlu kembali kepada Sabah tidak harus dilihat dari sentimen politik kenegerian semata-mata. Ia harus mengambil kira kepentingan penduduk Sabah dan Labuan secara keseluruhan.

Pembangunan Sabah tidak bergantung kepada Labuan sahaja. Seperti kata Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, Sabah mempunyai potensi ekonomi yang lebih besar apabila Pusat Pentadbiran Indonesia berpindah ke Kalimantan Timur.

Justeru dalam menguruskan persepsi rakyat, jangan sampai yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

Apa yang penting bukanlah siapa mentadbir Labuan, namun bagaimana membangunkan Labuan dan juga Sabah dengan lebih baik.

Artikel pertama kali diterbitkan dalam akhbar Wilayahku edisi 21-27 Ogos 2020

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat