7 Hari Mencintaiku 2 catat 12 juta tontonan untuk 33 episod

- Advertisement -

DRAMA bersiri 7 Hari Mencintaiku 2 yang ditayangkan di slot Akasia, TV3 baru-baru ini mencatat 12 juta tontonan sepanjang 33 episod bersiaran.

Episod akhir drama menampilkan Shukri Yahaya dan Siti Saleha selaku pelakon utama yang ditayangkan pada 17 Ogos lalu itu turut meraih lima juta tontonan.

Jumlah itu menyamai rekod siri pertama drama itu yang ditayangkan sebanyak 28 episod pada 2016.

Penerbitnya, Siti Rosmizah Semail berkata, kejayaan itu turut didorong oleh novel 7 Hari Mencintaiku yang sudah mempunyai pengikut tersendiri.

“Pada saya, kejayaan drama ini adalah kerana kekuatan novel itu sendiri yang sudah ada ratusan ribu peminat berdasarkan jualan novel. Ini diikuti lakonan hebat barisan pelakon, kru di belakang tabir dan tidak dilupa pada pengarah, Jamal Khan dan penyunting, Kas Roshan yang bertungkus lumus bersama saya siang dan malam semasa menyiapkan suntingan drama ini.

“Apa yang kita nampak di kaca TV hampir tiada cacatnya walaupun ada kelemahan pelakon baru yang kami terpaksa sunting dan buang membabitkan babak mereka demi menjaga kualiti drama hebat ini. Hasilnya, nama pelakon baru turut sama meletup dalam drama ini.

“Ini termasuk pasukan drama TV3 yang memberi sepenuh kepercayaan untuk menentukan pemilihan lagu tema nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aku Bidadari Syurgamu. Dari memilih melodi hingga penyanyi saya yang tentukan. Kerana lirik saya TV3 luluskan lagu ini,” katanya.

Ditanya kemungkinan drama fenomena itu bakal menemui musim ketiga, Siti Rosmizah berkata, pihaknya sudah ada idea.

“Saya baru berjumpa Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Khairul Anwar Salleh. Kami ada perancangan untuk menyambung drama ini dan saya sudah ada idea cerita. Cuma perbincangan lanjut akan dibuat kerana kesibukan saya. Sama ada sambungan menjadi drama atau filem akan diputuskan nanti,” katanya.

Sementara itu, pelakon Jasmin Hamid yang membawa watak Hayati berkata, pencapaian itu bukti peminat drama Melayu masih ramai.

“Walaupun ada segelintir yang jijik apabila sebut drama Melayu, tetapi 7 Hari Mencintaiku 2 bukti bahawa masih ramai lagi peminat drama Melayu dan membuatkan kami bertambah bersemangat untuk berkarya.

“Terima kasih kepada semua penonton dan peminat. Terima kasih kepada pihak TV3 dan pasukan Drama Sangat kerana mengangkat hasil karya Siti Rosmizah dan memberi kami anak-anak seni peluang untuk terus berjuang dalam industri seni tanah air.

“Tahniah buat seluruh keluarga 7 Hari Mencintaiku 2. Inilah hasil dari penat lelah kita semua,” katanya.

Selain watak Hayati, watak lain yang turut menjadi sebutan adalah Mak Leha lakonan Liza Abdullah, Helmy (Syazwan Zulkfly), Sofi (Wan Sharmila), Zaidi (Bil Azali) dan Nuful Ain (Wafariena Roslan).

Drama arahan Jamal Khan itu turut menampilkan Kazar yang menggantikan Aman Graseka bagi watak Pak Samad dan Jasmin Hamid untuk watak Hayati yang sebelum ini dibawa Zila Bakarin.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat