Siti Kasim lepas bebas tuduhan halang tugas pegawai JAWI pada jamuan transgender

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan peguam dan aktivis Siti Kasim daripada pertuduhan menghalang tugas seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada satu acara di sebuah hotel pada 2016.

Majistret Tawfiq Affandy Chin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur-unsur pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan di akhir kes pendakwaan terhadap Siti Kassim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim, 57.

Dalam keputusannya, Tawfiq berkata pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh adalah cacat kerana tidak dinyatakan secara spesifik bentuk halangan tersebut.

“Selain itu, melalui keterangan semasa perbicaraan, saksi pendakwaan bersetuju bahawa tertuduh memberikan kerjasama dan tiada bukti menunjukkan tertuduh menghalang pegawai JAWI menjalankan tugas sewaktu majlis makan malam di hotel itu,” katanya.

Tawfiq juga berkata tindakan tertuduh adalah sebagai seorang peguam yang melindungi anak guamnya dalam mempertikaikan ketiadaan waran tangkap ketika serbuan terhadap majlis itu.

“Dalam kes ini, JAWI seharusnya melakukan operasi mengikut prosedur yang ditetapkan iaitu mengemukakan waran tangkap semasa serbuan dibuat.

“Tindakan serbuan yang dibuat adalah untuk  kesalahan lelaki berlagak seperti perempuan yang merupakan suatu kesalahan yang tidak boleh ditangkap tanpa waran. Namun demikian boleh diperhatikan kesalahan tersebut mengikut jenayah syariah ialah kesalahan yang boleh ditangkap.

“Walaupun serbuan adalah berdasarkan maklumat orang ramai, JAWI seharusnya menjalankan operasi secara berhemah. Mahkamah berpendapat acara tersebut dijalankan secara betul.

“Oleh itu mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan ini tanpa perlu dipanggil membela diri,” kata Tawfiq.

Difahamkan, acara tersebut merupakan majlis makan malam tertutup yang melibatkan komuniti transgender di sebuah hotel di sini.

Seramai enam saksi pendakwaan termasuk  mangsa iaitu pegawai JAWI dipanggil memberi keterangan  semasa perbicaraan yang bermula pada  2017.

Mengikut pertuduhan, Siti Kasim  didakwa  dengan sengaja menghalang pegawai JAWI, Siti Nor Jihan Saleh @ Md Ghazali, 40, dalam melaksanakan tugasnya di sebuah hotel, di sini, pada 10.30 malam, 3 April 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ashikin Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam Suzana Norlihan Alias dan Rajsurian Pillai.

Peguam Arik Zakri Abdul Kadir hadir sebagai peguam pemerhati bagi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan manakala peguam Tay Kit Hoo untuk Badan Peguam Malaysia.

-BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat