KOTA KINABALU – Bekas Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman meminta rakyat Sabah bersatu dalam mendesak kerajaan mempertahankan kedaulatan berkenaan isu rampasan anak syarikat Petronas di Azerbaijan yang dilakukan waris kesultanan Sulu.

Menurutnya ini adalah soal kedaulatan dan keselamatan negara terutamanya kepada rakyat di negeri Sabah kerana tunjang tuntutan itu adalah Sabah.

“Ini soal kedaulatan dan keselamatan kita. Rakyat Sabah sudah bosan mendengar dakwaan yang didakwa sebagai pewaris Kesultanan yang tidak berfungsi. Rampasan dibuat berdasarkan dakwaan Sabah yang kita tidak iktiraf.

“Hakikat bahawa aset itu boleh dirampas adalah sama dengan campur tangan asing yang tidak menghormati tidak mengiktiraf tuntutan Sabah,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun kabinet telah menubuhkan pasukan petugas menyiasat perkara tersebut dan Petronas telah mengeluarkan kenyataan menjelaskan bahawa asetnya telah dilupuskan dan dihantar pulang, namun rakyat berhak mengetahui keadaan sebenar yang berlaku.

“Apa lagi yang boleh dirampas oleh waris ini dengan bantuan negara asing? Bolehkah mereka merampas tanah di Sabah juga? Apabila itu berlaku, apa yang akan berlaku kepada rakyat Sabah? Adakah rakyat Sabah akan menjadi pengemis di tanah mereka sendiri?

“Ini adalah sesuatu yang kerajaan mesti jelaskan kepada kita semua,” katanya.

Anifah menambah, usul mengenai isu yang sama dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis juga perlu dibahaskan di Parlimen.

“Bagaimanapun, berapa lama kita harus berdiam diri mengenai perkara itu? Rakyat Malaysia dan khususnya Sabah ingin tahu sama ada kedaulatan kita telah dicabul atau tidak dan sama ada kerajaan melakukan segala yang termampu atau tidak untuk mempertahankan kedaulatannya.

“Kami tidak meminta kerajaan mendedahkan perkara sulit semasa perbahasan. Saya pasti setiap Ahli Parlimen tahu bahawa beberapa perkara adalah sulit dan hanya didedahkan kepada ahli Kabinet yang paling kanan,” katanya.

Jelasnya lagi, setiap Ahli Parlimen khususnya dari Sabah berhak untuk membahaskan isu tersebut di Parlimen.

“Adalah menjadi hak mereka untuk membangkitkan isu ini di Parlimen. Saya difahamkan usul itu telah dikemukakan semula kepada Pejabat Speaker dan saya berharap Speaker akan membenarkan isu itu dibahaskan.

“Apa gunanya mengamalkan demokrasi jika persoalan asas berkaitan kedaulatan kita tidak boleh dibahaskan,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) berkata, PCS bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk mempertahankan isu ini.

“Kami akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang ingin melihat perjuangan ini selesai. Ini untuk masa depan Sabah. Kita perlukan jaminan bahawa kerajaan benar-benar memandang serius keselamatan Sabah,” katanya.