‘Hentikanlah Percakaran Yang Sia-Sia’ Pesan Imam Masjid Negara Kepada Ahli Politik

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Semua pihak khususnya pemimpin politik diminta menghentikan percakaran yang sia-sia sebaliknya mereka perlu fokus dalam tindakan mengekang penularan pandemik Covid-19.

Masalah dan pengorbanan rakyat seperti tidak dapat pulang ke kampung untuk berhari raya dan menjenguk ibu bapa yang sakit, hilang pendapatan, diberhentikan kerja, tutup perniagaan akibat krisis ekonomi, malah lebih menyedihkan ratusan pesakit masih bertarung nyawa akibat wabak sepatutnya diutamakan.

Perayaan terbesar umat Islam seperti Aidilfitri dan Aidiladha, begitu juga Tahun Baru Cina dan Deepavali bagi kaum Cina dan India, juga terpaksa ‘disuramkan’ berikutan perlu akur arahan kerajaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani pandemik.

Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni dalam khutbahnya Solat Sunat Aidiladha pada semalam berkata, para pemimpin perlu bersimpati terhadap rakyat dan jangan kerana percakaran dan ketamakan itu menyebabkan rakyat terus menjadi mangsa.

“Bagaimanakah Allah SWT mahu memperkenan doa kita dan menurunkan rahmat-Nya selagi mana kita masih lagi bergelumang dengan dosa, kemaksiatan dan perpecahan,” ujar beliau ketika membaca teks khutbah Jumaat sempena Hari Raya Aidiladaha semalam.

Khutbah solat Aidiladha disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dibacakan di semua masjid Wilayah Persekutuan.

 

Menurut Ehsan, walau apa jua keadaan dan perkara yang berlaku, Aidiladha tidak boleh kehilangan makna dan intipatinya manakala ibadah korban yang dilaksanakan saban tahun memiliki hikmah dan pengajarannya yang banyak jika benar-benar menekuninya.

Katanya, ambillah hikmah keteguhan dan keikhlasan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup mengorbankan sesuatu yang paling dicintainya.

Dalam hal itu, beliau menjelaskan, ketika semua sedang berjuang melawan pandemik Covid-19, bermacam bentuk cabaran dihadapi dan pastinya, ramai terkesan dari sudut ekonomi, psikologi dan mental, pendidikan, bahkan, cuaca politik negara juga ada pasang surutnya.

“Seharusnya, kita sedar bahawa manusia adalah makhluk sosial yang tidak mampu hidup sendiri. Manusia merupakan makhluk yang memerlukan orang lain dalam banyak perkara.

“Maka, ketika kita ada kelebihan rezeki dan boleh berkorban, alangkah baiknya jika kita tidak menunda-nunda lagi. Yakinlah saudaraku, bahawa korban kita akan diterima Allah SWT dan akan dilipatgandakan pahalanya kerana membantu orang lain yang sedang mengalami kesusahan dan kedukaan,” katanya.

Khatib berkata, walau dalam suasana negara masih berdepan pandemik, Allah SWT menganugerahkan bermacam kenikmatan dan salah satunya kenikmatan menyambut Hari Raya Aidiladha.

Katanya, pada tahun ini, rakyat masih menyambut Aidiladha dalam suasana mencabar dan kawalan pergerakan masih diteruskan berikutan bilangan kes harian masih tinggi dan tidak menentu.

Justeru, katanya, jagalah diri dan kesihatan, selain terus bertaubat dan bermunajat memohon kepada Allah SWT agar segera diangkat wabak dan musibah ini kerana hanya Allah SWT jualah yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu dan hanya Dia-lah yang Maha Mengabulkan doa hamba-hamba-Nya.

Jelasnya, begitulah sebahagian hikmah dan intipati ibadah korban dalam rangka membentuk diri sebagai muslim bertakwa yang mana setiap cabaran dan ujian perlu dihadapi dengan akal dan tindakan rasional.

“Cabaran yang dihadapi juga memerlukan pengorbanan dan ketabahan tinggi. Berkorbanlah sebahagian harta yang kita miliki bagi membantu ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan sesiapa jua yang sedang dalam kesusahan.

“Korbankanlah masa tidur kita dengan bangun mendirikan solat malam untuk bertaubat dan bermunajat kepada Allah SWT. Korbankanlah keseronokan dan hiburan sia-sia dengan menumpukan kepada pembaikan diri kerana hiburan yang sia-sia itu tidak akan membantu kita menghadapi hari perbicaraan di mahsyar kelak,” katanya. – UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat