KUALA LUMPUR – Ketua Majlis Ulama Pas Datuk Ahmad Yahaya menjangkakan, sesungguhnya Malaysia boleh mencapai keamanan sebenar tanpa DAP.
Pesuruhjaya Pas Kedah itu berkata, kedegilan DAP menyebabkan negara dan rakyat terus retak dalam sengketa dan perpecahan.
“Apabila Tuanku Sultan bertitah, seharusnya kita akur. Apatah lagi titah Tuanku Sultan diulang-ulang beberapa kali.
“Apakah sukar untuk kita memahaminya. Tak susah kan? Namun, tidak sesekali bagi parti berlatar belakang cauvinis seperti DAP yang masih tegar “bertembung” dengan istana.
“Cuba kita renungkan, mengapa ketegangan kaum berlaku antara kita? Sedangkan kita sudah mencapai kemerdekaan beberapa dekad yang lalu.
“Siapa yang lantang mempertahankan industri dosa; arak dan judi dalam negara? Siapa yang lantang mempertahankan UEC meskipun telah diketahui akar pendidikannya tidak bertunjang kebangsaan?
“Siapa yang lantang mempertahankan pilihan raya PBT, meskipun telah dijelaskan perpecahan kaum akan kian ketara? Siapa yang masuk campur urusan umat Islam termasuklah dalam bab persijilan halal dan undang-undang syariah sesuka hati?
“Siapa yang tidak bersungguh mempertahankan bahasa kebangsaan sebagai keutamaan dan masih menerapkan bahasa lain? soal beliau dalam kenyataan pada Khamis.
Ahmad menegaskan, negara masih terperangkap dalam isu-isu di atas kerana ada pihak yang tegar memperjuangkannya meskipun menyedari isu-isu sedemikian sangat sensitif.
Justeru katanya, bagaimana kita mahu memikirkan soal yang lebih besar khususnya aspek perpaduan nasional dan pembinaan negara bangsa, sedangkan masih ada pihak yang suka mencarik perpaduan yang dibina sedikit demi sedikit?
“Mustahil.
“Kesemuanya menjurus kepada parti tersebut. Kedegilan mereka sebenarnya menjarakkan keharmonian sesama kita selama ini.
“Kedegilan merekalah menyebabkan negara dan rakyat terus retak dalam sengketa dan perpecahan.
“Oleh sebab itulah, sebenarnya Malaysia boleh kecapi keamanan sebenar tanpa mereka. Malaysia yang aman tanpa DAP,” ujar beliau.



