KUALA LUMPUR – Umno digesa keluar daripada Kerajaan Perpaduan susulan kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang didakwa menghina institusi diraja dan melanggar garis merah berkaitan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, kenyataan yang dibuat Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu terhadap titah Sultan Selangor adalah tidak wajar dan keterlaluan.
Tegas Mustapha, tindakan Tony Pua itu disifatkan sebagai biadab dan menunjukkan sikap tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.
“Dia jelas melanggar garis merah 3R dengan secara sedar. Sikapnya yang anti Melayu dan institusi diraja menjadi punca orang Melayu tidak dapat menerima DAP sebagai rakan kongsi kepada Umno dalam kerajaan sekarang.
“Sudah banyak kali pemimpin DAP melanggar garis merah, perjanjian persafahaman bersama penubuhan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, perkara berkenaan pernah dibincang dalam Musyawarah Nasional lalu, yang menjadi keresahan orang Melayu.
Mustapha memberitahu, Umno telah lama bersabar sehingga parti itu dituduh sebagai kuda tunggangan DAP.
“Oleh itu, veteran mendesak supaya Umno membuat keputusan keluar daripada kerajaan sekarang demi maruah Melayu dan parti.
“Selain itu, DAP mesti memohon maaf kepada Tuanku Sultan di atas keceluparan Tony Phua. Hakikatnya kenyataan Tony itu walaupun dimaksudkan kepada Sultan Selangor tetapi secara umumnya ditujukan kepada raja-raja negeri lain juga,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tony Pua yang mendakwa kuasa raja terhad disifatkan cuba memisahkan institusi raja daripada Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan beliau itu mengundang pelbagai kritikan yang mendakwa pandangan diberikan itu mengelirukan dan tidak memberi tafsiran sebenar Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.



