Perpecahan Melayu buka ruang pihak luar ambil kesempatan melemahkan kuasa, kedudukan Melayu di tanah sendiri – Sultan Selangor

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap orang Melayu dan umat Islam di negara ini akan terus bersatu padu, tidak kira daripada kalangan pemimpin politik hinggalah kepada rakyat jelata.

Titah baginda, jika kita terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka kita yang akan rugi dan lemah.

“Beta juga perhatikan sejak akhir-akhir ini terlalu banyak pertelingkahan dan perselisihan berlaku dalam kalangan ahli-ahli politik sehingga boleh menimbulkan keresahan rakyat.

“Semua pihak seharusnya mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan orang Melayu Islam telah membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri,” titah Sultan Sharafuddin dalam perutusan Aidiladha pada Khamis.

Baginda turut menegaskan bahawa perpaduan orang Melayu tidak harus disalah tafsir sebagai usaha untuk bermusuhan dengan semua kaum lain di negara ini.

Sebaliknya titah baginda, kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan menjadikan negara lebih aman, stabil dan rakyatnya saling menghormati.

“Di kesempatan sambutan Aidiladha ini juga, Beta mahu agar semua kaum, bangsa dan semua agama di negara ini saling hormat menghormati sensitiviti antara satu sama lain dan hidup aman damai.

“Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Islam pernah mencapai zaman kegemilangan ketika era Kerajaan Uthmaniyyah apabila masyarakat berbilang bangsa hidup harmoni di bawah pemerintahan Islam,” titahnya.

Sementara itu, Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat di Negeri Selangor Darul Ehsan.

“Aidiladha mengajar kita erti pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah. Ketika jutaan umat Islam berhimpun di Tanah Suci tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan, mereka menunjukkan satu contoh perpaduan yang amat besar nilainya kepada seluruh dunia Islam.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor turut mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan segala urusan ibadah mereka, dikurniakan kesihatan yang baik, kembali ke tanah air dengan selamat serta memperoleh haji yang mabrur.

“Selamat Hari Raya Aidiladha,” ucapnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat