PUTRAJAYA, 20 April – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen syarikat Al Aisy Travel & Tour Sdn. Bhd. berkuat kuasa mulai 31 Mac 2026 selepas syarikat itu didapati gagal mematuhi obligasi di bawah lesen pengusahaan pelancongan.
Menurut kenyataan Pesuruhjaya Pelancongan hari ini, pembatalan lesen syarikat bernombor 202301002565 (1496484-U) itu dibuat selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].
MOTAC memaklumkan syarikat berkenaan didapati gagal membuat tempahan terlebih dahulu bagi kemudahan penginapan dan pengangkutan di Madinah seperti yang dinyatakan dalam jadual pakej umrah atau ziarah.
Selain itu, syarikat terbabit juga didakwa gagal mengikut jadual perjalanan pelancongan serta tidak menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia untuk 36 jemaah umrah sehingga menyebabkan mereka terkandas di Madinah, Arab Saudi.
Menurut MOTAC, tindakan syarikat itu menunjukkan ia gagal mematuhi obligasi dan syarat yang dikenakan di bawah lesen sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan 8(1)(a) dan 8(1)(b) Akta 482.
Pada masa sama, syarikat tersebut juga didapati menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara seperti diperuntukkan di bawah perenggan 8(1)(d) akta sama.
Kementerian berkata keadaan itu menimbulkan risiko keselamatan, tekanan kewangan serta gangguan terhadap perjalanan ibadah jemaah umrah.
“Ia sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti dan integriti syarikat serta merosakkan keyakinan awam terhadap industri pelancongan secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu.
MOTAC menegaskan kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia. – SuaraTV



