Polis Serbu Rumah Jadi Stor Dadah, Seorang Lelaki Ditahan

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Helah sebuah sindiket menyewa dan menjadikan dua rumah pangsa di bandar raya ini sebagai stor penyimpanan bekalan dadah terbongkar apabila lokasi berkenaan diserbu polis pada awal pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, Asisten Komisioner Mohd Afzanizam Yahaya berkata, serbuan diadakan antara jam 12.15 tengah malam sehingga jam 1.40 pagi.

Menurutnya, polis menahan seorang lelaki berusia 49 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM228,495 dalam tiga serbuan berasingan yang dijalankan.

“Selain dua pangsapuri berkenaan, polis turut menemui bekalan dadah yang disembunyikan di kawasan parkir di rumah pangsa berkenaan.

“Untuk mengabui mata pihak berkuasa mereka menyewa rumah pangsa yang lengkap dengan pengawal keselamatan dan menjadikan premis itu sebagai stor penyimpanan dadah.

“Hasil serbuan itu polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah antaranya 2.08 kilogram (kg) ekstasi, 1kg serbuk kafein, 5.7 liter cecair ekstasi, 35.5 gram ketamin, 209 biji pil ekstasi dan 50 biji pil eramin 5. Nilai keseluruhan bekalan dadah dirampas adalah RM228,495. Turut disita adalah wang tunai sebanyak RM7,200 dan gelang emas bernilai RM1,500,” katanya menerusi siaran media hari ini.

Mohd Afzanizam berkata, manakala hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek lelaki warga tempatan itu negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau.

“Menerusi Ops Tapis Khas yang dijalankan bermula 18 April hingga semalam, polis juga berjaya menahan seramai 265 individu atas pelbagai kesalahan dadah,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat