KUALA KUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, meninggal dunia hari ini ketika menerima rawatan di Hospital Dublin, Ireland.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata pemergian Allahyarham pada Ramadan yang mulia adalah satu kehilangan besar kepada negara dan perkhidmatan awam.

“Mewakili seluruh warga Perkhidmatan Awam Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Dr Ali Hamsa, yang kembali ke rahmatullah pada hari ini, 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadan 1443H di Hospital Dublin, Ireland.

“Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohd Zuki berkata, Allahyarham yang juga anak jati Johor dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-13 bermula 2012 hingga 2018.

Allahyarham menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 1981.

Mohd Zuki menambah, Allahyarham pernah berkhidmat di pelbagai kementerian dan jabatan termasuk di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan, Unit Perancang Ekonomi, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Sementara itu, berita kematian Allahyarham turut dikongsikan pelbagai pihak melalui media sosial termasuk milik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.