Kami tak zalim, Anwar beritahu Terengganu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan meminggirkan Terengganu.

Sebaliknya Menteri Kewangan itu mengatakan bahawa pentadbirannya memberikan peruntukan yang lebih besar kepada negeri itu berbanding kerajaan sebelumnya.

Bercakap pada mesyuarat bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pagi ini, Anwar berkata, dana disalurkan terus kepada rakyat, tanpa mengambil kira pakatan politik mereka, bukannya kepada ahli Parlimen mana-mana kawasan.

“Meskipun Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sudah jelaskan (mengenai perkara itu) di Parlimen, mereka (pembangkang) tetap memanggil kami zalim.

“Semasa saya menjadi pembangkang berpuluh tahun, kita tidak menerima sebarang peruntukan, termasuk ketika Umno-PAS-Bersatu menjadi kerajaan. Ketika itu tidak zalim, tetapi sekarang zalim?

“Bolehkah undang-undang (Islam) berubah mengikut pakatan politik? Kalau dulu zalim, ya, sekarang pun zalim,” sindir Anwar.

Perdana Menteri berkata demikian menjawab tuduhan kononnya Kerajaan Madani berlaku zalim dan tidak melunaskan wang ehsan kepada negeri Terengganu.

“Ia ternyata sekadar tohmahan murahan. Walhasil, RM786 juta hasil petroleum telah disalurkan kepada kerajaan negeri Terengganu untuk keperluan bayaran gaji serta komitmen kontrak.

“Malah, kerajaan juga memenuhi kesemua tuntutan bayaran Pemberian Persekutuan kepada Terengganu iaitu RM413.64 juta (2023) ketimbang RM399.12 juta (2022); dan ini dijangka terus meningkat pada tahun 2024.

“Agihan peruntukan untuk Belanja Pembangunan juga kita tingkatkan untuk negeri Terengganu iaitu daripada RM1.55 bilion (2023) kepada RM1.59 bilion (2024),” jelas beliau.

Semasa sidang Dewan Rakyat pada 6 Mac lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) meminta penjelasan daripada Anwar mengenai tunggakan bayaran royalti minyak kepada negeri itu tahun lalu.

Ahli Parlimen PAS itu mendakwa negeri itu masih belum menerima kira-kira RM1 bilion daripada Kerajaan Pusat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau tidak menerima sebarang peruntukan semasa menjadi Ahli Parlimen Port Dickson (2018-2022).

Namun, katanya,beliau tidak mahu mengungkit tentang masa lalu, terutama pada bulan puasa.

“Peruntukan untuk membangunkan Terengganu juga meningkat daripada RM1.55 bilion pada 2023 kepada RM1.59 bilion (dalam bajet).

“Saya telah menjelaskan perkara ini sebelum ini di Parlimen, tetapi mereka (pembangkang) terus berkata kita zalim dan menentang agama, dan lain-lain. Mereka kata ia bukan Madani (kerajaan), tetapi ‘Madanon’ dan banyak lagi (penghinaan),” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat