KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mencadangkan pertuduhan terhadap beberapa individu selepas siasatan mendapati terdapat ‘arahan’ projek Jana Wibawa diberikan secara tender terus kepada kontraktor dan syarikat tertentu.
Lapor Utusan Malaysia, sumber berkata, siasatan turut mendapati beberapa kontraktor dipercayai membayar komisen atau rasuah tiga hingga lima peratus dari nilai projek membabitkan puluhan hingga ratusan juta ringgit.
“Kertas siasatan SPRM mengenai ketirisan dana Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) itu akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR). Cadangan pertuduhan itu dibuat selepas siasatan SPRM terhadap isu tersebut mendapati terdapat perlakuan jenayah di bawah peruntukan Akta SPRM 2009.
“Kertas siasatan itu hampir dilengkapkan sebelum dibentangkan kepada TPR dengan saranan mempertimbang pertuduhan terhadap beberapa individu,” katanya.
Pada 9 Disember lalu, SPRM mengesahkan menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan Covid-19 daripada Kementerian Kewangan.
SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan terarah kepada RM92.5 billion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan perbelanjaan negara yang dianggarkan hampir RM600 bilion.
Kata sumber lagi, siasatan SPRM mendapati terdapat ‘arahan’ Projek Jana Wibawa diberikan secara tender runding terus kepada kontraktor dan syarikat yang dikenal pasti membabitkan nilai projek puluhan sehingga ratusan juta ringgit.
“Beberapa kontraktor dikesan disyaki telah membayar komisen atau rasuah tiga sehingga lima peratus daripada jumlah projek yang diperoleh hasil tender runding terus itu,” katanya.
Menurut sumber, sepanjang tempoh siasatan sebanyak 30 individu telah dipanggil.
Jelas sumber, mereka daripada jabatan kerajaan, kontraktor selain bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Hari ini, keterangan membabitkan bekas Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz juga telah diambil SPRM bagi melengkapkan kertas siasatan,” jelasnya.
Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin menegaskan bahawa beliau tidak pernah menerima bayaran sehingga RM300 juta daripada kontraktor di bawah projek Jana Wibawa dan menganggap tuduhan ke atas beliau sebagai tidak berasas.
Dakwa beliau, ketika itu negara dilanda pandemik Covid-19 dan yang paling teruk terkesan adalah pihak-pihak kontraktor bumiputera yang amat memerlukan bantuan dan idea itu datang daripada Tengku Zafrul sebelum ia dibawakan kepada Kabinet dan mendapat kelulusan.
Muhyiddin juga menegaskan beliau tidak mengenali mana-mana kontraktor itu dan pada masa itu, Kementerian Kewangan yang membawa masuk senarai kontraktor.
Pada 6 Januari lalu, seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat swasta ditahan SPRM selepas hadir memberi keterangan berhubung siasatan yang dijalankan.
Suspek berusia 42 tahun itu dipercayai menjadi ‘dalang’ dan menerima rasuah bagi menghubungkan kontraktor dengan pihak atasan.
Hasil soal siasat SPRM terhadap beberapa kontraktor, mereka mengakui membayar komisen terbabit dengan wang berkenaan akan dimasukkan ke dalam akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kononnya untuk tujuan pembiayaan politik.
Pada 2 Februari lalu, SPRM mengesahkan telah membeku akaun bank Bersatu bernilai lebih RM40 juta bagi membantu siasatan penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi.
Pembekuan itu dilakukan apabila Bersatu dipercayai menerima lebih RM300 juta wang yang dipercayai daripada dana kerajaan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Dilaporkan pada 3 Februari lalu, baki RM260 juta daripada lebih RM300 juta dana yang disyaki diterima Bersatu dipercayai dibelanjakan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).