KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendedahkan tiga isu berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS) ‘diselesaikan’ sebelum beliau menamatkan tugas di kementerian berkenaan.
Hishammuddin menjelaskan, tiga perkara itu bagi memastikan projek LCS diteruskan, pihak yang salah dibawa ke muka pengadilan dan menghidupkan semula pelan mobilisasi kapal berkenaan.
“Pertama, saya pastikan LCS mesti diteruskan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri ketika itu.
“Kedua, pihak yang salah tetap salah dan mesti dihadapkan ke muka pengadilan dan ketiga adalah pelan mobilisasi untuk menghidupkan semula LCS,” katanya ketika membahaskan Usul Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Isnin.
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong pada masa sama turut meminta Kerajaan Perpaduan menjelaskan status terkini perolehan LCS.
Katanya, bukan sahaja beliau ingin memgetahuinya, malah rakyat juga turut mengharapkan perkara sama.
“Apakah garis masa untuk menyelesaikan binaan kapal LCS pertama. Adakah tempoh setahun dua ini masih kekal atau sebaliknya,” katanya.
Selain itu, Hishammuddin yakin penggantinya akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung projek LCS.
Beliau berkata, Datuk Seri Mohamad Hasan akan membentangkan status projek berkenaan termasuk tindakan terhadap ‘pihak yang bersalah’ dalam projek tersebut.
“Adakah garis masa untuk menyelesaikan kapal LCS pertama dalam setahun dua masih kekal atau sebaliknya? Sama ada pihak yang salah ini akan dan sedang disiasat dan akan dibawa ke muka pengadilan?
“Saya amat yakin Kerajaan Perpaduan khasnya Kementerian Pertahanan di bawah Datuk Seri Mohamad Hasan akan membentang segalanya berhubung status terkini projek LCS ini,” katanya.