SOP Terperinci Penganjuran Program Citrawarna Keluarga Malaysia Diumum Esok – MKN

- Advertisement -

KUCHING – Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih terperinci esok berhubung penganjuran Program Citrawarna Keluarga Malaysia yang akan berlangsung selama empat hari bermula Khamis ini di Tebingan Sungai Kuching.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata MKN akan bermesyuarat sekali lagi esok susulan terdapat beberapa SOP bakal dipinda berdasarkan permintaan daripada setiap agensi yang terlibat.

“SOP yang awal sebelum ini telah disediakan oleh JPBN (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri) Sarawak memang sudah ada… mungkin ada SOP baharu yang akan diperhalusi lagi (dalam mesyuarat itu),” katanya pada sidang media hari ini.

Program Citrawarna Keluarga Malaysia yang bertemakan Temasya Kepelbagaian Budaya itu akan memberi kemeriahan fiesta warna-warni dengan kepelbagaian program dan aktiviti pelancongan serta persembahan seni dan budaya Malaysia.

Nancy sebelum ini memaklumkan hanya 2,450 pengunjung dibenar menghadiri acara kemuncak malam gala Program Citrawarna Keluarga Malaysia yang akan diadakan pada 26 Feb dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata antara SOP yang telah dirangka termasuk menambah jumlah kanopi daripada sebuah kepada tujuh dengan setiap satunya dihadkan sehingga 350 orang dan pergerakan keluar masuk di kanopi itu akan dikawal oleh penguat kuasa bagi memastikan had kehadiran dipatuhi.

Selain malam gala pada Sabtu, beberapa acara yang disusun untuk memeriahkan program itu ialah festival kraf Sarawak, konsert Sape, festival gendang Sarawak, peragaan busana kraf tekstil Malaysia, bazar makanan serta persembahan bunga api dan pancutan air muzikal. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat