KUALA LUMPUR – Parti MUDA memaklumkan tidak akan merebut kerusi yang ditandingi pembangkang termasuk PKR pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu diputuskan bagi membawa perubahan jangka masa panjang kepada rakyat.
“Saya lihat kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim, di mana beliau umum 20 calon. Komitmen saya sebagai Presiden MUDA memastikan MUDA tak akan bertanding di kerusi yang ditandingi PKR dan pembangkang lain.
“Kalau lihat kerusi yang MUDA tandingi adalah di kerusi Umno dan Bersatu kerana nak pastikan bawa perubahan jangka masa panjang bukan sekadar PRN,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan tiga calon MUDA bagi PRN Johor hari ini.
Syed Saddiq belum itu ditanya berkaitan rundingan bersama PKR selepas parti itu mengumumkan semua 20 calon akan bertanding pada PRN Johor, 12 Mac ini.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, calon MUDA akan sedaya upaya membantu calon pembangkang lain serta terbuka untuk bekerjasama dengan parti pembangkang yang mempunyai aspirasi sama iaitu mengangkat martabat negara.
“Kita mahukan pembangkang menang, mahu perubahan Johor untuk berhentikan politik domino iaitu satu persatu kerajaan (negeri) dibubarkan. Tak ada kestabilan politik langsung, kucar kacir, rakyat diheret ke ‘hyper politician-ship’ tak habis-habis.
“Ada kata lepas ni (bubar) Kedah, Perak dan Sabah. Bila ia nak berhenti. Sebab itu MUDA akan cuba sebaik mungkin bawa tawaran baru kepada rakyat dan akan kerjasama dengan sesiapa yang ada aspirasi yang sama untuk angkat martabat Malaysia yang berbilang bangsa, fokus politik, dasar, nilai dan politik baru,” katanya memetik FMT.
Syed Saddiq turut mengesahkan parti itu akan menggunakan logo sendiri pada PRN itu kerana ia merupakan pilihan raya pertama ditandingi MUDA.
“MUDA buat ketetapan akan guna logo sendiri dan keluar tawaran kepada anak Johor dalam tempoh terdekat,” katanya.
Dalam pengumuman yang turut disiarkan di Facebook hari ini, MUDA mengumumkan tiga calon mereka di DUN Tenang, Bukit Kepong dan Bukit Permai.
Dua Ahli Jawatankuasa Eksekutif MUDA, Lim Wei Jiet dan Nurafiqah M Zulkifli, masing-masing akan bertanding di DUN Tenang dan Bukit Kepong manakala Pengerusi MUDA Johor Azrol Rahani di DUN Bukit Permai.
MUDA sebelum ini mengumumkan calonnya yang akan bertanding di DUN Puteri Wangsa menjadikan jumlah calon sudah diumumkan setakat ini empat orang.