Jika Kongsi Manifesto, PKR Sudi Kerjasama Dengan MUDA – Anwar

KUALA LUMPUR – Sekiranya Parti MUDA sudi berkongsi semangat dan manifesto dengan Pakatan Harapan (PH) maka pintu rundingan masih terbuka untuk parti itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parti itu masih bersedia bekerjasama dengan MUDA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika parti berasaskan belia itu menggunakan manifesto yang sama.

“Jika Muda berkongsi semangat dan manifesto yang sama seperti PH dan menyelesaikan isu rundingan yang berlaku, saya tidak fikir kita akan menghadapi masalah untuk bekerjasama bagi memastikan calon mereka akan menang.

“Jadi, kita tunggu maklum balas mereka, dan Insya-Allah ia akan menjadi positif,” katanya memetik Malaysiakini malam tadi semasa pelancaran jentera pilihan raya PKR bagi PRN Johor.

Sebelum ini, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata beberapa sesi rundingan dengan MUDA tidak berjaya.

MUDA kemudian menuduh PKR “menamatkan” rundingan pakatan pilihan raya dengan mengumumkan calonnya untuk pilihan raya dewan undangan Johor yang akan datang.

Selepas mengumumkan kumpulan terakhir calon mereka pada hari Sabtu, Anwar telah menyatakan bahawa PKR telah berunding dengan MUDA tetapi berkata parti itu tidak boleh menunggu lagi dan terpaksa meneruskan pengumuman calon.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kepimpinan partinya akan bersidang untuk menentukan jalan ke hadapan, sambil menambah bahawa jika pertembungan antara PKR dan MUDA tidak dapat dielakkan, Muda akan menyerahkan keputusan itu kepada pengundi.

Pada masa ini, PKR tidak bercadang untuk bertanding di enam kerusi yang ditawarkan Amanah dan DAP kepada MUDA, tetapi pemimpin tempatan telah memberi amaran mereka mungkin akan bertindak balas jika Muda cuba bertanding di kerusi PKR.

Semasa pilihan raya umum 2018, PKR memenangi lima kerusi DUN di Johor. MUDA akan membuat penampilan sulungnya pada PRN di Johor.

Pengundi Johor akan keluar mengundi pada 12 Mac. Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari.