KUALA LUMPUR – Mana mungkin kita tetapkan suatu dasar pertahanan, perolehan persenjataan terbaik, kalau kita masih diheret dengan kepentingan peribadi, dengan komisen, dengan kekayaan-kekayaan, tegas Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan tegas, katanya sebab itu tidak boleh lagi kita teruskan dengan amalan bobrok yang merosakkan, bukan sahaja kita sebagai negara, tetapi industri itu sendiri.
“Bayangkan harapan seluruh negara kepada satu angkatan untuk menjaga keselamatan kita, anak-anak kita, masa depan kita, itu diringankan dengan kepentingan-kepentingan peribadi.
“Dulu kita kaitkan dengan pimpinan politik, dan rakan-rakan saya Jemaah Menteri tahu amaran keras tanpa kecuali. Ada rekod selamat kamu.
“Sekarang menjalar kepada penjawat awam, angkatan bersenjata, badan-badan penguatkuasaan, kastam, imigresen.
“Jadi sebab itu, percayalah sampai seperti mana juga saudara terlatih dalam peperangan. Ini perang kita sekarang. Kalau tidak mampu kita bersihkan, tidak mungkin kita angkat, termasuk apa yang diluncurkan oleh Menteri, yang disebut oleh Menteri dan kita luncurkan pada pagi ini,” tegas Anwar dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) pada Rabu.
Pun begitu, Perdana Menteri menyatakan beliau menaruh keyakinan dan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Khaled Nordin yang mengemudi kepentingan pertahanan dengan penuh rasa tanggungjawab, tidak apologetik atau bersikap bermaaf atau pun defensive.
“Mahu membersihkan, tetapi meletakkan harapan yang tinggi dan mengemudi kementerian ini supaya terangkat sebagai sebuah kementerian dan angkatan yang cukup wibawa dan berintegriti.
“Saya ucap terima kasih dan saya harap Datuk Seri Khaled terus dengan peranan ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut perkara kemelut yang membadai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Anwar berkata, minggu lalu beliau umumkan pembekuan semua perolehan oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.
“Dan saya beritahu Khaled, semua yang telah diluluskan, dan belum dimuktamadkan, akan diteliti semula. Saya minta beliau sendiri pantau dan bawa kepada Kementerian Kewangan dari sudut keupayaan kewangan kita.
“Saya tegaskan pembekuan semua perolehan. Tidak harus sesiapa pun ganggu gugat. Ia mesti lalui proses yang lebih telus dan dipertanggungjawab kepada menteri bersama KSU-nya, barulah diangkat. Kita ada Dasar Industri Pertahanan, tapi saya rasa terangkum di situ satu agensi atau pusat yang memutuskan secara yang lebih telus, dan berwibawa.
“Kemahiran dan kepakaran itu ada pada saudara saudari, bukan pada saya. Nak tentukan jenis senjata, kelengkapan yang diperlukan, mengikut urutan dengan keterbatasan kita. Saudara tentukan, dan kita lakukan mengikut proses yang telus, yang munasabah, dan saya percaya ini dapat dilakukan sebaik diputuskan pimpinan angkatan bersenjata yang baru bersama menteri dan saya akan berikan seluruh dukungan dan sokongan termasuk apa yang dilakar dalam Dasar Industri Pertahanan Negara hari ini.
“Itu jaminan saya. Seluruh Jemaah Menteri adalah bersama untuk perbaiki dan angkat semula peranan keupayaan dan juga melaksanakan Dasar Industri Pertahanan Negara. Itu jaminan saya,” tegas Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Katanya lagi, Khaled menyinggung tentang rangka kerja strategik untuk memperkukuh ekosistem pertahanan.
Kerana katanya, ekosistem itu menuntut kita bukan sahaja membeli, tetapi juga menyediakan kemandirian teknologi tempatan, pemerkasaan rangkaian atau yang dikatakan supply chain bekalan tempatan, dan pengkomersialan R&D.
“Tumpuan kita termasuk atau bermula dengan pengukuhan tadbir urus dan institusi, yang selalu saya tekankan bermula dengan tatakelola yang baik. Dan kita tahu perolehan ini bukan perkara yang khusus di Malaysia ini, saya rasa bagi yang mengikuti perkembangan industri pertahanan dan perolehannya, inilah salah satu ruang di mana amalan songlap dan sakau ini paling ganas.
“Jadi sebab itu, dengan jaminan Menteri tadi, kita bermula dengan tadbir urus dan tatakelola yang sangat baik,” kata beliau.
Tambahnya perkara kedua, yang terkait dengan Dasar Industri ini, pembangunan keupayaan teknologi termasuk melalui Industrial Collaboration Program.
Manakala ujarnya, perkara ketiga ialah pemantapan ekosistem dan rantaian bekalan.
“Kita ada keupayaan, puluh bilion ringgit dibelanjakan. Tetapi, kalau kita asyik gila dengan komisen dan dengan kepentingan-kepentingan kekayaan peribadi, mana kita nak fikirkan kepentingan industri tempatan?
“Bila kita lihat umpamanya, keupayaan Malaysia ketimbang banyak negara-negara berkembang yang lain, itu di antara yang paling lemah sebelum ini dari sudut membina kekuatan teknologi dan industri tempatan.
“Sebab itu Dasar Industri Pertahanan Negara ini yang memberi penekanan dalam bidang ini harus didukung sepenuhnya, sama ada oleh syarikat-syarikat milik kerajaan dan tentunya kita harus beri ruang kepada mana-mana syarikat tempatan lainnya yang menunjukkan keupayaan yang harus diberikan sokongan sebaik mungkin,” kata Anwar lagi.
Perkara keempat ujarnya ialah peningkatan — tentunya peningkatan kalau ada keupayaan dalaman yang cekap dan baik kita harus bergerak supaya meningkatkan daya saing global dan mula mengeksport hasil kita.
“Jadi, DIPN yang kita luncurkan pada pagi ini bagi saya itu perkembangan yang sangat mendesak. Sebab itu, saya tegaskan semula berdasarkan tonggak yang saya umumkan dan juga yang dicerakin berikutnya oleh Khaled.
“Pembekuan ini diteruskan di Kementerian Pertahanan dan saya nak selaraskan juga di Kementerian Dalam Negeri, kerana beberapa persamaan ataupun agensi-agensi lain yang terlibat, dan harus melalui, sebelum apa-apa perubahan dibuat, MK II (Menteri Kewangan II) pun ada, itu melalui DIPN.
“Semua perolehan sekarang mesti dilihat dalam konteks strategi DIPN, diputuskan cara telus dan mengelak daripada apa juga kemungkinan kecurangan berlaku.
“Saya ingin beri jaminan sekali lagi, seperti mana yang ditekankan oleh Menteri, Timbalan Menteri, kita berikan apa sahaja yang mungkin untuk kebajikan anggota tentera: perumahan mereka, sekolah-sekolah di kem, elaun mereka, dan bulan ini peningkatan gaji mereka, Bantuan Persekolahan Awal anak-anak mereka, STR dan SARA untuk mereka.
“Dan tumpuan khas tentang kedudukan, kemudahan, prasarana di kem-kem tentera. Saya sendiri sempat melawat beberapa, kenal pasti dan cuba baiki segera. Menteri hampir berulang kali kepada saya dan juga dalam syor Jemaah Menteri, memberikan perhatian dan mohon supaya Kerajaan termasuk Kementerian Kewangan memberi tumpuan tentang kebajikan anggota tentera, kerana mereka diberikan tugas yang kadang-kadang jauh lebih berat daripada penjawat awam biasa.
“Berkorban meninggalkan keluarga mingguan dan bulanan. Sebab itu, Kerajaan berikrar untuk memastikan keutamaan dan kebajikan mereka itu tidak diabaikan. Kita dah bermula dan hebatnya di Tentera ini kerana dia ada Kor Kejuruteraan. Jadi Kor Kejuruteraan itu telah dapat menyiapkan dan membaiki rumah dan sekolah jauh lebih cepat dan belanjanya cepat habis. Dengan cekap dan baik.
“Maknanya ada keupayaan. Siapa kata semuanya berita buruk? Ada kekuatan, dari itulah kita bina kekuatan. Dan kalau saya ditanya umpamanya mahu perkuatkan Kor Kejuruteraan, saya senang sebab saya lihat prestasi mereka, perumahan-perumahan anggota tentera dengan langkah yang diambil oleh Kor Kejuruteraan sangat membanggakan.
“Jadi, sekali lagi saya salute dan terima kasih dan menyatakan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua yang berkhidmat dengan baik dan cemerlang. Mudah-mudahan episod gelap dan muram, seperti apa yang diungkapkan sebagai “puting beliung”. Jarang berlaku puting beliung di Malaysia ini, tetapi dua tiga tahun sekali dia mari melanggar.
“Mudah-mudahan dia tidak memberikan gambaran yang negatif dan dengan dasar ini dan berakhirnya pembekuan untuk dibawa melalui jentera dan konsep dasar baharu ini kita berikan satu harapan baru bagi Malaysia,” ujar Perdana Menteri lagi.



