133 individu ditahan, Bukit Aman gempur sarang dadah & kongsi gelap di Klang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, menggempur segala elemen berkaitan kumpulan kongsi gelap dan gangsterism dalam Op Khas Aman Fasa 1 2024 di daerah Klang Selatan dan Klang Utara, dekat sini, yang berakhir hari ini.

Operasi bermula sejak 15 Januari lalu itu, mensasarkan individu bergiat aktif dalam dua kumpulan kongsi gelap di sekitar Klang selain tapak projek pembinaan dikuasai mereka dan sarang penagihan dadah.

Seramai 133 individu ditahan termasuk 120 rakyat tempatan dalam operasi yang turut dibantu oleh JSJ IPK Kontinjen Selangor bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJ Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata operasi turut melumpuhkan aktiviti menjana kewangan dua kumpulan kongsi gelap utama itu yang sekian lama bermaharajalela di daerah ini.

“Tangkapan ahli kongsi gelap ini dibuat berdasarkan rekod keahlian sedia ada dan dikenalpasti JSJ Bukit Aman berdasarkan serbuan tangkapan individu lain yang pernah dilaksanakan dalam operasi sebelum ini.

“Melalui rekod (orbat) JSJ, pihak kami kemudian membuat risikan sama ada mereka masih aktif dalam kegiatan jenayah mahupun pengedaran dadah sebelum diberkas dalam Op Khas Aman Siri 1 ini,” katanya kepada BH hari ini.

Fadil berkata JSJ melalui Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) turut menjalankan serbuan ke atas 16 tapak projek pembinaan yang dipercayai mempunyai elemen menjana kewangan dan ekonomi untuk dua kumpulan kongsi gelap utama di Klang.

Katanya, pihaknya turut menyerbu tiga sarang utama penagihan dadah membabitkan dua di daerah Klang Selatan dan satu di daerah Klang Utara iaitu di Taman Sentosa, Klang selain jejambat Kampung Sammy, Pelabuhan Klang dan tanah lot Jalan Merpati, Taman Eng Ann, Klang.

“Seramai 34 penagih dadah tempatan diserahkan kepada AADK untuk tindakan selanjutnya manakala enam penagih dadah warga asing disiasat mengikut Akta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan sah,” katanya.

Fadil berkata operasi dilaksanakan susulan pelbagai kes jenayah dilaporkan berlaku di dua daerah berkenaan termasuk kes samun dan pemerasan yang tular di media sosial.

“Kita JSJ berusaha membanteras segala elemen berkaitan kumpulan kongsi gelap dikaitkan dengan aktiviti pemerasan, pergaduhan untuk menguasai kawasan tertentu, menjalankan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah serta samun dan mendatangkan kecederaan.

“Dengan usaha ini, kita berharap supaya masyarakat boleh berada dalam keadaan tanpa merasa takut terhadap jenayah selain berkongsi maklumat dengan polis,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat