Nabila berdebar, menggeletar naik pentas?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bagaikan igauan ngeri, begitulah perasaan penyanyi sensasi, Nabila Razali, 30, mengenangkan insiden ‘terkucil’ ketika menyanyikan lagu Peluang Kedua pada Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35), tahun lalu.

Tentunya, ‘titik hitam’ yang terpalit itu mengekorinya sepanjang hidup. Setiap kali tampil mengadakan persembahan secara ‘live’ termasuklah ketika majlis pelancaran single baharu berjudul Aku Terluka, wanita kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu tidak mampu menahan perasaan gementar.

Tangannya masih menggigil, meskipun selepas selesai memperdengarkan single baharunya itu. Sehingga kini, apa yang berlaku masih menjadi mimpi ngeri dalam kehidupannya.

Namun, setiap manusia tidak dilahirkan sempurna. Untuk mencari kesempurnaan dan memperbaiki kekurangan diri, Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali berusaha mencuri masa mengikuti kelas vokal bersama guru vokal, Shaffiq Erwin.

Nabila berkata, insiden terkucil itu membuatkannya lebih berhati-hati dan berdebar setiap kali naik ke pentas.

Bohonglah, katanya, dia tidak terkesan langsung dengan hentam yang diterima, malah sehingga kini, detik itu masih melayang-layang dalam fikirannya.

Enggan mengulangi kesilapan sama, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia itu tidak berputus asa untuk mencari jalan keluar.

“Insiden terkucil ini memalit titik hitam yang tak mampu dilupakan. Jadi, bayangan ini bagaikan mengekori saya setiap kali menaiki pentas.

“Sebagai penyanyi, sudah tentu saya mempunyai jangkaan apa yang mahu dipersembahkan kepada penonton, namun timbul juga kebimbangan seandainya persembahan tidak sampai.

“Jadi, saya enggan berdepan dengan episod pisang berbuah dua kali. Saya cari masa dengan menyertai kelas vokal.

“Jujurnya, saya masih terkesan dengan keadaan ini, cuma tidaklah terlalu trauma seperti sebelum ini. Jadi, saya akan pastikan bersedia bukan sahaja dari segi vokal, malah tatarias dan penampilan,” katanya kepada BH Online.

 

Nabila dituduh guna MK K-Clique untuk lonjak nama dan mencari perhatian. - Foto IG Nabila Razali
Nabila dituduh guna MK K-Clique untuk lonjak nama dan mencari perhatian. – Foto IG Nabila Razali

 

Baru sahaja tampil menerusi single Aku Terluka, Nabila kembali dikecam netizen kerana dituduh sengaja menimbulkan gimik murahan apabila berkongsi gambar membayangkan bakal mendirikan rumah tangga.

Ramai sudah dapat mengagak ia hanya gimik untuk memperkenalkan single baharu dan menyarankan Nabila supaya berhenti membuat gimik murahan.

Namun, jelas Nabila, ia bukan gimik, sebaliknya sedutan video muzik Aku Terluka.

Bagaimanapun, katanya, pengalaman hampir sedekad ternyata mengajar Nabila supaya tidak mudah melatah.

“Saya tahu ramai yang sudah boleh mengagak saya bakal keluar dengan single baharu, cuma ada perbezaan antara gimik dan sedutan.

“Apa yang dikongsikan adalah sedikit sedutan untuk memaklumkan kepada peminat ada sesuatu yang bakal saya lancarkan.

“Sebagai anak seni, saya tidak mahu terus menyuap peminat, sebaliknya perlu kreatif bagaimana mahu mempersembahkan karya saya,” katanya.

Bekas graduan Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang itu berkata, dia memilih cara itu bagi mempromosikan single Aku Terluka.

“Saya tidak kisah dikecam kerana itu bermakna orang ambil tahu. Apa yang lebih merisaukan jika orang buat tidak tahu dengan apa yang saya lakukan.

“Lagipun, saya sudah lali kecaman, jadi ia tidaklah begitu memberi kesan kepada saya,” katanya.

 

Nabila menyiapkan video muzik, sebelum rakaman lagu Aku Terluka dan dihasilkan ketika bersama pasukan bercuti di Kelab Taaras, Terengganu.
Nabila menyiapkan video muzik, sebelum rakaman lagu Aku Terluka dan dihasilkan ketika bersama pasukan bercuti di Kelab Taaras, Terengganu.

 

Kongsi Nabila, apa yang menariknya, video muzik Aku Terluka disiapkan sebelum lagu disiapkan lagi.

“Video muzik dihasilkan ketika saya dan pasukan bercuti di Kelab Taaras, Terengganu. Melihatkan lokasi yang cantik, kami terus membuat persiapan pada saat akhir.

“Hasilnya, saya sangat berpuas hati biarpun dilakukan pada saat akhir,” katanya.

Tambah Nabila, dia sekali lagi menampil MK K-Clique kerana single Aku Terluka adalah kesinambungan lagu Peluang Kedua.

Jujurnya, katanya, dia langsung tidak berniat menggunakan MK untuk tujuan menarik perhatian penonton.

“Sebelum ini, ramai tertanya-tanya apa kesudahan lagu Peluang Kedua. Jawapannya, ada dalam single Aku Terluka.

“Sebab itulah, saya mengundang MK sekali lagi dalam muzik video ini.

“Selepas muzik video siap, pengurusan menghubungi komposer, Amylea Azizan.

“Kami minta Amylea menghasilkan lagu mengikut muzik video yang dihasilkan. Saya sangat berpuas hati dengan melodi dihasilkan Amylea dan MFMF,” katanya.

Single Aku Terluka mengisahkan percintaan yang tidak kesampaian kerana pemergian sang kekasih buat selamanya. Ia adalah single ketiga terbitan Nabila Razali Entertainment yang juga lagu ketujuh Nabila dan edaran Universal Music Malaysia.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat