KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli mengingatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim soal lawan rasuah dan menghentikan budaya sakau dalam kerajaan yang sentiasa dilaungkan Perdana Menteri namun tidak bertindak seperti seharusnya.
Bekas Menteri Ekonomi itu berkata demikian susulan pengakuan Anwar di Parlimen bahawa Setiausaha Politik beliau ada memberi surat sokongan dan ekoran itu Perdana Menteri telah menegur keras pegawainya.
“Kalau setakat tegur keras, tetapi orang itu masih ada di situ, lama-lama berucap keras macam mana pun orang tak ambil serius.
“Takut nanti orang cakap depan cakap lain, belakang buat lain.
“Isu ini tular sejak tahun lepas. Kesahihan surat itu pun telah disahkan oleh Menteri Kesihatan sendiri.
“Cuma jawapan PM tu macam tak de “ooommpph”. Sebab soal lawan rasuah, hentikan budaya sakau dalam kerajaan – semua ini tidak pernah lekang dari ucapan beliau sehingga hari ini.
“Masa kita pembangkang, rakyat faham yang kita tidak ada kuasa. Sekarang dah tiga tahun jadi kerajaan.
“Kita tidak boleh salahkan rakyat kalau harapan itu tinggi supaya kesan usaha-usaha memerangi rasuah itu dirasai dengan mendadak. Kita memang selalu baca berita orang ini ditangkap, orang itu ditangkap. Tapi setakat ini, hasil dari tangkapan itu tidaklah banyak yang berakhir dengan sabitan dan dihukum, sebab itu jangan salahkan rakyat kalau rakyat agak sinikal dengan laungan anti rasuah yang Datuk Seri Anwar laungkan,” bidas Rafizi.
Ahli Parlimen Pandan itu mengemukakan statistik rasmi dari Menteri Undang-Undang mengenai usaha membanteras rasuah untuk membandingkan prestasi dari 2020 ke 2025 – Maklumat mengenai rasuah – sebenarnya berkurang dari 7,440 dalam 2020 kepada 6,520 dalam 2024; Kertas siasatan ada peningkatan baik – naik dari 857 tahun 2020 kepada 1,163 tahun 2024; Yang nampak hasil ialah lebih banyak tangkapan dan diwar-warkan dalam berita – naik dari 998 tahun 2020 kepada 1,334 tahun 2024.
” Tetapi sebenarnya yang dituduh selepas disiasat dan ditangkap ini lebih rendah. 480 dituduh dalam 2020, menurun kepada 454 tahun 2024. Ikut peratusan yang dituduh berbanding kertas siasatan dibuka: menurun dari 56 peratus tahun 2020 kepada 39 peratus tahun 2024.
“Maka sabitan bersalah juga lebih rendah zaman Madani ini, walaupun laungan anti rasuah lebih kuat. Tahun 2021, sabitan sebanyak 300 kes bersamaan 36 peratus kertas siasatan berakhir dengan sabitan, berbanding 2024 hanya 256 sabitan, iaitu 22 peratus berjaya disabitkan,” ujar bekas Timbalan Presiden PKR itu dalam hantaran di Facebook beliau pada Khamis.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan turut mengingatkan cybertroopers kerajaan jangan kecam membuta tuli.
“Ini fakta yang menunjukkan jurang di antara retorik anti rasuah dengan realiti sebenar yang dinilai rakyat.
“Sebab itu dalam kes Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar ini, sepatutnya ia jadi peluang kepada Anwar tunjukkan komitmen beliau menentang rasuah,” tegas Rafizi.
Beliau turut mengemukakan saran perkara yang sepatutnya berlaku iaitu – jangan tegur keras, pecat sahaja. Ini bukan kali pertama.
“Malah saya sendiri pernah membincangkan beberapa aduan seperti ini. PM kata dia akan semak, lepas semak dia sahkan yang saya sebut itu betul, tapi sehingga sekarang Setiausaha Politik Kanan itu masih kekal di situ.
“Laporkan kepada SPRM supaya boleh semak bila Setiausaha Politik Kanan tulis surat sokongan seperti itu, adakah ada habuan bertukar tangan,” syor Rafizi.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan telah menegur tindakan Setiausaha Politiknya berhubung pemberian surat sokongan kontraktor terhadap projek hospital tahun lalu.
Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan, peraturan dan prinsip kerajaan sememangnya tidak membolehkan tindakan sedemikian dilakukan.
“(Berkenaan) sokongan Setiausaha Politik saya, saya telah memberi teguran yang keras kerana peraturan tidak membolehkan kita lakukan (surat sokongan).
“Kalau ada surat daripada saya, maksimum (arahan) ‘sila teliti’. Itu standard, tetapi tidak boleh membuat satu sokongan,” katanya di Parlimen baru-baru ini.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta penjelasan mengenai tindakan Setiausaha Politik Perdana Menteri yang didakwa mengeluarkan surat sokongan terhadap projek hospital pada 2024 dengan menyenaraikan kontraktor kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
Ahmad Shaari mendakwa, daripada enam kontraktor yang disenaraikan dalam surat sokongan tersebut hanya dua mempunyai kelayakan.
“Yang lain tidak ada rekod CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia), dikenakan tindakan tatatertib dan rakyat tidak melihat tindakan daripada Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri),” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau tidak menamakan pembinaan projek hospital berkenaan yang terkait surat sokongan itu.



