Ada hikmah Rafizi kalah, keluar Kabinet dapat bantu PKR kekal jadi parti reformis tak memihak elitis – Hassan Karim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim memuji sekali gus bersyukur dengan wujudnya fenomena baru di luar kerajaan yang digerakkan Datuk Seri Rafizi Ramli.

Hassan akui senang dengan kelantangan Rafizi menegur kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim namun masih setia dalam PKR.

“Ada hikmahnya Rafizi Ramli kalah dalam pemilihan PKR pada bulan Mei 2025 yang lalu dan seterusnya keluar dari Kabinet Kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim.

“Yang mendapat rahmat dari perkembangan tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah parti PKR.

“Apabila Rafizi terus hidup dan berpolitik dengan aktif untuk menyumbangkan idea-ideanya yang segar di dalam Parlimen dan di podcast di media sosial maka ia membantu menghidupkan terus harapan rakyat terhadap Parti Keadilan Rakyat sebuah parti progresif, reformis dan pelbagai kaum sebagai parti yang inklusif sebenar untuk masa depan Malaysia.

“Dengan wujudnya fenomena baru di luar kerajaan tetapi Rafizi masih sebagai seorang anggota PKR yang tetap setia dengan idealisme reformis yang jujur memihak kepada rakyat jelata bukannya golongan elitis kelas berkuasa, maka Rafizi dan ahli-ahli Parlimen sependirian dengannya berupaya menjanjikan masa depan yang cerah untuk PKR di masa hadapan,” puji Hassan dalam catatan di Facebooknya pada Khamis.

Menurut wakil rakyat PKR itu lagi, sekarang rakyat mulai nampak suatu realiti.

Yakni katanya, Kerajaan Madani pimpinan Anwar dan PKR yang didukung oleh lebih sejuta anggota adalah dua entiti yang berbeza.

Ujar Hassan, Kerajaan Madani mungkin timbul atau mungkin tenggelam dalam Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang, tetapi dengan perkembangan terbaru PKR dan fenomena Rafizi maka PKR mungkin akan terkesan sedikit bersifat sementara tetapi ia boleh cepat bangkit semula dengan lebih kuat meneruskan perjuangannya.

“Garis pemisah antara pendirian Anwar sebagai Perdana Menteri Kerajaan Madani dengan Rafizi serta ramai lagi ahli-ahli Parlimen senior PKR di Dewan Rakyat ialah dalam soal Perjanjian Timbal Balik Tarif (ART) yang telah ditandatangani oleh Perdana Menteri Malaysia Anwar dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 26 Oktober 2025 di Kuala Lumpur.

“Perbezaan pendirian dalam soal Perjanjian ART itu bukan perkara kecil.Ia melibatkan soal dasar negara, soal kemerdekaan dan kedaulatan negara yang merupakan teras asas dalam perjuangan politik parti PKR.

“Namun begitu, wajar diberi pujian.Kepimpinan PKR setakat ini amat bijaksana dan berhati-hati terutama sikap Presiden parti merangkap Perdana Menteri, Anwar.

“Setakat yang saya tahu tidak ada sebarang peringatan atau teguran keras atau tindakan tatatertib disiplin yang telah diambil atau akan diambil kepada anggota-anggota parti terutama ahli-ahli Parlimen PKR yang bersuara lantang di dalam Parlimen atau di luar Parlimen yang mengkritik keras secara terbuka terhadap kerajaan dan Perdana Menteri.

“Dalam hal ini, maka saya tabik hormat kepada Perdana Menteri Anwar,” kata Hassan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat