KUALA NERUS – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memindahkan seramai 158 pelajar dan kakitangan Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Nerus yang terjejas akibat banjir hari ini.
Jurucakap APM Terengganu berkata, 115 daripadanya adalah pelajar manakala selebihnya kakitangan dan tenaga pengajar.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan untuk membawa semua pelajar dan kakitangan pada 12.15 tengah hari.
“Semua mangsa dipindahkan sementara ke Stadium Tertutup Gong Badak sebelum pelajar diambil penjaga masing-masing.
“Kesemua mangsa yang dipindahkan ini kerana kediaman di Imtiaz dinaiki air,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam pada itu, jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir di Terengganu menunjukkan peningkatan apabila seramai 325 mangsa dipindahkan hari ini.
Kesemua mangsa daripada 106 keluarga itu ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan tiga daerah iaitu di Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu.
Setakat jam 4 petang ini, empat PPS dibuka di daerah Kuala Nerus menempatkan 176 mangsa daripada 65 keluarga.
Diikuti Kuala Terengganu seramai 141 mangsa membabitkan 38 keluarga ditempatkan di dua PPS.
Daerah Setiu hanya satu PPS dibuka yang mana menempatkan seramai lapan mangsa daripada tiga keluarga. – HMetro