MB Selangor, CEO Air Selangor didesak lepas jawatan – PSM Selangor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Parti Sosialis Malaysia (PSM) Selangor mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman meletakkan jawatan susulan kegagalan menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di negeri itu.

Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi PSM Selangor, Selvam V berkata, krisis air di Selangor seperti sudah tiada kesudahannya dan masalah gangguan air semakin kritikal dan ini menunjukkan kerajaan negeri sudah tidak mampu menangani pengurusan air di Selangor.

“Oleh demikian, PSM Selangor menggesa Menteri Besar Selangor dan Ketua Eksekutif Air Selangor mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan meletakkan jawatan mereka,” tegasnya.

Menurut Selvam , masalah paip pecah di Jalan Bukit Kuda, Klang beberapa hari yang lalu, sudah menjejaskan pengguna di 15 kawasan terutamanya di sekitar Klang dan Shah Alam.

Beliau menambah, belum pun reda masalah itu, masalah pencemaran air di Sungai Selangor berulang kembali semalam yang menjejaskan lebih 1 juta pengguna di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Kuala Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Hal demikian, Selvam berkata, PSM Selangor mencadangkan kerajaan negeri melihat masalah pencemaran sungai bukan satu pencemaran biasa.

“Undang-undang dan tindakan tegas di samping mekanisme pemantauan yang mantap di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) perlu dilaksanakan dengan segera.

“Kerajaan negeri juga perlu melaksanakan langkah alternatif seperti membuat tadahan air hujan di kawasan perumahan yang dibiayai oleh kerajaan negeri. Ini dapat menyelesaikan masalah keperluan air tempatan dan gangguan bekalan air dapat diminimumkan dan tidak akan menjejaskan ramai pengguna.

“Bagi masalah paip pecah, PSM Selangor menggesa kerajaan negeri melaksanakan program penyelenggaraan paip secara berkala dan berjadual bagi mengelak masalah berulang,” katanya.

Beliau berkata, air adalah kemudahan asas, maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menyediakan dana yang mencukupi untuk tujuan ini.

“Masalah paip pecah dan paip bocor juga menyumbang kepada 30 peratus air tidak terhasil’ (non-revenue water) yang memburukkan lagi masalah bekalan air di Selangor,” katanya.

Selain itu, Selvam turut mencadangkan Air Selangor memantau dan meneliti semua loji rawatan/bekalan air untuk mengenalpasti masalah seperti paip dan peralatan yang lama, bocor dan yang memerlukan penggantian serta penyelenggaraan yang baik.

Katanya, syarikat itu perlu menyediakan sistem ‘back-up’ seperti saluran paip alternatif yang hanya digunakan apabila saluran paip utama mengalami masalah selain meneliti dan mengemaskini SOP pengurusan air semasa krisis yang sedia ada untuk mengelakkan masalah ini di masa hadapan.

“Kakitangan yang terbabit dalam tugasan ini perlu dilatih supaya dapat mengendalikan masalah dengan cekap dan pantas. Akhirnya, syarikat itu perlu meneliti dasar dan proses perolehan (procurement) Air Selangor termasuk pembekal peralatan untuk memastikan bahan atau peralatan adalah berkualiti tinggi,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat