Bekas Pengurus Besar Kanan FGV Holdings didakwa setuju terima rasuah RM10,000

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus besar kanan FGV Holdings Berhad didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersetuju menerima rasuah wang tunai RM10,000 berhubung pelantikan sebuah syarikat untuk kerja pengauditan bagi Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa (ISCC) milik FGV Palm Industries Sdn Bhd.

Norazam Abdul Hameed, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Tertuduh didakwa bersetuju menerima suapan itu daripada Mohd Rizal Md Kassim sebagai dorongan bagi mengesyorkan pelantikan Syarikat MRA Sustainable Solution untuk kerja-kerja pengauditan ISCC untuk Kompleks Keratong 9, Kompleks Palong Timur, Kompleks Maokil, Kompleks Bukit Sagu, Kompleks Lepar Hilir, Kompleks Serting Hilir, Kompleks Lepar Utara 06 dan Kompleks Serting milik FGV Palm Industries.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Cochrane di sini antara 3.45 hingga 3.55 petang pada 1 Mac 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009  dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Peguam Mohd Hisyam Mad Nen yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya kehilangan kerja sejak tahun lepas dan merupakan penanggung tunggal keluarga serta mempunyai tiga anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM dan menetapkan 20 Nov  untuk sebutan semula kes.

Difahamkan tertuduh belum menerima wang RM10,000 itu.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat